Bonus pekerja dijangka berkurang berikutan kelembapan ekonomi 


Khoo Gek San

Gaji pekerja mungkin dikurangkan berikutan kedudukan kewwangan syarikat yang tidak kukuh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

EKONOMI yang lembap ditambah dengan pelaksanaan gaji minimum baharu berkuatkuasa tahun depan akan menyaksikan bayaran bonus yang sedikit tahun ini, atau lebih teruk, langsung tiada bonus, kata pemain industri.

Menurut mereka, beberapa sektor agak perlahan tahun ini dan ia akan diperlihatkan melalui bayaran bonus.

Sementara itu bagi sektor lain, terutamanya industri kecil dan sederhana berkata, dasar kerajaan seperti pengenalan skim gaji minimum serta pemansuhan subsidi minyak akan menjejaskan kewangan mereka, dan ia akan memberi kesan kepada mereka yang ingin membuat simpanan bagi tahun akan datang.

“Sesetengah sektor agak perlahan dan ia menyebabkan bayaran bonus kurang, namun saya merasakan ia masih baik berbanding penjawat awam kerana mereka hanya menerima RM500,” kata  Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan.

Tambahnya, bonus akhir tahun juga dilihat lebih rendah berbanding biasa, namun ia masih dalam lingkungan 1.4 atau 1.5 bulan.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa sektor eksport turut menyaksikan peningkatan tahun ini, dan mereka yang bekerja dalam sektor ini berkemungkinan akan mendapat kenaikan bonus.

Bagaimanapun Presiden Persatuan SME Michael Kang tidak optimistik dan mengatakan perniagaan kecil dan sederhana bimbang untuk melabur lebih banyak dalam operasi mereka berikutan dasar kerajaan yang masih kabur, dan bonus pekerja hanya dibayar sebulan.

“Saya rasa bonus tahun ini akan berkurangan. Banyak dasar kerajaan akan dilaksanakan tahun depan, termasuk skim subsidi petrol baharu dan gaji minimum baharu. Perniagaan kecil dan sederhana memerlukan perubahan dalam struktur operasi mereka,” kata Kang.

Katanya pengguna juga mengubah corak perbelanjaan mereka dan kurang membeli, walaupun pusat membeli-belah dilihat masih sesak.

“Kedua-dua peniaga dan pengguna bimbang ekonomi tidak baik tahun depan, dan membuat perubahan dalam perbelanjaan untuk menjimatkan wang,” katanya.

Sementara itu, sektor pembinaan mengalami penurunan, dengan kos yang tinggi dan kekurangan tenaga mahir yang memberi masalah kepada pemaju dan kontraktor, sekaligus mengurangkan projek pembangunan.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Johor Steve Chong berkata, bagaimanapun pekerja layak untuk mendaoat bonus kerana mereka bekerja keras sepanjang tahun.

“Mungkin ada pelarasan untuk bonus dan faedah, sesetengah syarikat mungkin tidak akan membayar langsung bonus. Namun industri mengalami kejatuhan dan saya harap pekerja dapat faham.

“Ketika krisis kewangan 1997, ekonomi negara sangat teruk, namun sekiranya kewangan syarikat membenarkannya, jadi bonus tetap akan dibayar,” kata Chong. 

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata, kebanyakan pekerja dalam sektor pembinaan mungkin berdepan potongan gaji kerana masalah ini.

“Kewangan kebanyakan syarikat tidak berapa baik, gaji pekerja mungkin dikurangkan, apatah lagi bonus?” katanya.

Presiden Persatuan SME Sabah Foo Ngee Kee berkata, situasi di Sabah berbeza dengan Semenanjung, dengan pekerja diberikan sagu hati ketika Tahun Baharu Cina dalam bentuk angpau.

“Terpulang sama ada syarikat memberi keuntungan taua tidak, amalan kita ialah untuk beri penghargaan kepada pekerja dengan angpau. Tidak kira syarikat untung atau sebaliknya, ia adalah tanda penghargaan,” katanya.– 28 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen