Tunjuk pencapaian, bukan aksi persembahan


The Malaysian Insight

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi video yang dimuat naik pada akaun Twitternya mengumumkan beliau yang juga menteri belia dan sukan telah meyakinkan perdana menteri untuk menangguhkan pemansuhan elaun kritikal bagi pengamal perubatan lantikan baharu.– 27 Disember, 2019.

APA lagi yang harus dibuat agar pentadbiran kerajaan agak masuk akal dan konsisten?

Dalam masa 24 jam sahaja, elaun perkhidmatan kritikal yang dimansuhkan dikuatkuasa semula. Polis dapat arahan sekat pertubuhan pendidikan Cina daripada mengadakan perhimpunan kontroversi mengenai pengajaran Jawi.

Dari beberapa segi, tajuk berita ini tidak banyak berubah walaupun gabungan parti pemerintah bertukar. Flip flop berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan ia berterusan dalam masa 19 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Pengekalan elaun kritikal kepada pengamal perubatan muda ini adalah kisah flip flop klasik yang boleh dianggap sebagai wayang.

Jabatan Perkhidmatan Awam sudahpun menyatakan elaun kritikal itu tidak perlu kerana bilangan profesional dalam perkhidmatan memadai.

Malah, permohonan yang diterima amat besar. Elaun itu pula tidak diberikan secara kekal. Kabinet bersetuju menghentikan elaun untuk pengambilan baharu. Tetapi pemansuhan itu menimbulkan banyak bantahan dan menteri Kabinet Syed Saddiq tampil di media sosial dan berjanji agar arahan itu ditarik balik.

Usahanya berjaya dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghentikan pemansuhan elaun tersebut. Baguslah bagi pengamal perubatan muda, tetapi tidak bagi birokrat yang sudahpun menjalankan kajian dan memutuskan langkah itu dapat menjimatkan dana kerajaan.

Apakah seruan dalam episod terbaharu dalam pentadbiran Mahathir ini? Mesyuarat Kabinet diadakan, keputusan dibuat dan dipersetujui kemudian ada pula menteri yang tidak maklum atau tidak membaca minit mesyuarat dan bertindak atas reaksi dan kemarahan orang awam.

Ada tindakan JPA salah kerana menyarankan pemotongan elaun? Adakah elaun kritikal itu perlu diteruskan walau tiada keperluan untuk negara yang sudahpun mempunyai begitu ramai graduan perubatan dan penempatan yang begitu terhad? Adakah Kabinet membincangkan cadangan pemotongan itu dengan mendalam?

Flip flop yang berlaku sebelum ini termasuk menarik balik pengiktirafan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum dan menangguh pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis.

Apakah penilaiannya ke atas kerajaan PH dan adakah parti ini berbeza dengan kerajaan BN yang kalah undi popular pada 2018 kerana kleptokrasi dan tidak berpijak di bumi nyata?

Waktu bulan puasa lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bertemu media dan mengakui pencapaian kerajaan PH tidak memenuhi jangkaan pengundi, berbanding ketika pentadbiran BN.

Mohamad berharap PH diberikan masa dan memberi alasan, lebih penting lagi parti itu tidak mencuri seperti kerajaan lama. Memang benar, tapi mereka sudah pandai mungkir janji.

Ada janji yang masih belum ditunaikan. Flip flop masih berlaku. Kaum dan agama masih diperkudakan. Tidak lama lagi kita masuk tahun 2020 dan rakyat Malaysia masih lihat ahli politik menggunakan drama populis untuk mengekalkan sokongan.

Realitinya, majoriti rakyat Malaysia yang memilih kerajaan baharu mahukan integriti dan kejujuran. Mereka mahu istiqamah, tindakan yang masuk akal dan juga komunikasi.

Mereka mahu kepemimpinan, bukan hanya menunjuk-nunjuk sikap cakna selepas sesuatu keputusan dilihat tidak popular.

Saranannya mudah – buat dan berpeganglah pada satu-satu keputusan, jangan mudah bertukar kerana takut hilang sokongan dalam pilihan raya akan datang. Rakyat Malaysia mahu lihat pencapaian, bukan aksi persembahan! – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen