Anggota polis cedera dilibas parang 


SEORANG anggota polis berpangkat koperal cedera ringan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki disyaki kurang siuman yang berbogel di perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Daerah (IPD) Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata anggota polis yang berusia 29 tahun dilibas di bahagian kepala dan tangan, namun hanya cedera di lengan kanan kerana semasa kejadian beliau memakai topi keledar.

Beliau berkata terdahulu anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Kuantan itu diarahkan ke jejantas di Jalan Besar di Kuantan, bagi memeriksa aduan seorang lelaki yang dikatakan mengetuk besi jejantas dengan menggunakan parang sekitar pukul 11.30 pagi.

“Suspek difahamkan telah melarikan diri ke masjid yang terletak kira-kira 100 meter dari jejantas itu dan mengamuk di perkarangan masjid serta mencederakan diri sendiri sebelum bertindak melibas parang ke arah anggota polis yang cuba menghampirinya. 

“Anggota polis segera menjarakkan diri bagi menenangkan suspek yang dianggar berusia dalam lingkungan 40-an selain mahu mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini. 

Mohamad Noor berkata suspek kemudiannya melarikan diri ke jambatan Tanjung Lumpur yang terletak kira-kira 200 meter dari masjid dan mencampakkan parang itu ke dalam sungai, sebelum berjaya ditahan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA ) di Kuantan untuk rawatan dan pemeriksaan mental.
– Bernama, 27 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen