Dong Jiao Zong jangan panjangkan lagi isu tulisan Jawi, kata wakil KPM


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM Dr Habibah Abdul Rahim berkata Dong Jiao Zong dalam mesyuarat esok perlu pertimbangkan inisiatif yang diambil oleh kementerian dalam isu tulisan Jawi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussan, 27 Disember, 2019.

SUDAH tiba masanya untuk mengakhiri isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular dan maju ke depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Dr Habibah Abdul Rahim.

Beliau berkata perhimpunan Dong Jiao Zong esok perlu mempertimbangkan inisiatif yang diambil oleh kementerian dalam menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh kumpulan pendidikan Cina.

Katanya, perkara itu tidak patut dipanjangkan lagi.

“Kita sudah tukar lima kali berkenaan Jawi dan pada masa ini, semua rundingan dan pertimbangan yang sudah dilakukan oleh kementerian perlu diambil kira dalam apa juga perbincangan yang akan mereka adakan.

“Sekolah akan dibuka tidak lama lagi dan kita masih lagi fikir tentang Jawi dan takut dengan isu ini. Ia sudah dikurangkan daripada enam halaman kepada tiga, dan ia pengajaran yang tidak sampai sejam pun,” katanya pada satu forum malam tadi.

Enam ahli panel dijemput iaitu Ng Chai Hang daripada Dong Jiao Zong, Muhammad Faisal Aziz (Abim), Prof Badlishah Sham (Ikram), K.Arumugam (Yayasan Tamil), Isabel Pak (KLSCH) sementara Habibah mewakili kementerian.

Habibah berkata sejak isu itu tercetus kementerian mengadakan banyak program dengan semua pihak berkepentingan.

“Pada 25 Julai isu itu dibangkitkan, dan kementerian respons dengan cepat dan sehari kemudian kami adakan program dengan pihak berkenaan.

“Dari hari itu, kita terus mengadakan program dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Pada Ogos, Putrajaya berkata ia akan terus mengajar Jawi bagi murid Tahun 4, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian.

Ia susulan protes daripada kumpulan pendidikan vernakular.

Mengikut keputusan baharu itu, kelas Jawi akan dikurangkan, dan atas kelulusan Persatuan Guru dan Ibu Bapa sekolah masing-masing.

Kumpulan hak Melayu memberi amaran terhadap tindakan Dong Jiao Zong mengadakan pertemuan di ibu pejabatnya esok.

Mereka berkata rusuhan kaum boleh berlaku jika Dong Jiao Zong meneruskan rancangannya.

Kumpulan itu yang mewakili beberapa persatuan sivil Melayu turut membuat laporan polis terhadap Dong Jiao Zong.

Laporan itu dibuat oleh ketua Kebajikan Darul Islah Malaysia Islah Malaysia Masridzi Sat bagi pihak kumpulan berkenaan.

Dong Jiao Zong berkata pertemuan itu bukan protes tetapi acara tertutup untuk membincangkan pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Ahli jawatankuasa pusat Dong Jiao Zong Low Chee Chong berkata tidak ada rancangan untuk mengadakan himpunan dan mesyuarat itu hanya terbuka untuk wakil daripada badan persatuan sivil Cina. – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen