PENDAFTAR Pertubuhan (RoS) mengadakan pertemuan dengan penganjur kongres tolak Jawi bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung himpunan itu, kata Tan Tai Kim.
Presiden Dong Jiao Zong itu berkata RoS mahu mendapatkan maklumat tentang kongres itu dan senarai pihak yang akan hadir.
“Mereka tidak meminta kita untuk membatalkan kongres tersebut. Mereka amat mesra,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan itu.
Tan berkata pihaknya menekankan bahawa himpunan itu hanya terbuka untuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang juga berdaftar dengan RoS.
“Ia bukan himpunan terbuka kepada umum. Hanya untuk NGO Cina,” katanya.
Tan berkata pihaknya juga bertemu dengan polis untuk memberi maklumat tentang himpunan tersebut.
“Kita akan memastikan kongres ini berjalan lancar dan tidak mencetuskan sebarang masalah. Kita mahu menekankan kongres ini bukan satu protes dan ia merupakan perbincangan tertutup mengenai pelaksanaan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular,” katanya.
Kongres itu mencetuskan bantahan daripada kumpulan Melayu berhaluan kanan yang ada sudah membuat laporan polis bagi meminta program itu dibatalkan.
Ada kalangan kumpulan itu mendesak agar Dong Jiao Zong diharamkan.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memberi amaran kepada Dong Jiao Zong bahawa tindakan mereka meneruskan himpunan itu akan mencetuskan masalah lain ekoran gesaan kumpulan pendesak Melayu yang mahu sekolah vernakular ditutup.
Presiden PKR Anwar Ibrahim juga meminta Dong Jiao Zong dan pihak terlibat termasuk pertubuhan Melayu agar tidak mengadakan sebarang himpunan berhubung isu itu.
Di sebalik amaran dan gesaan itu, Dong Jiao Zong tetap meneruskan kongres itu di Kolej New Era di Kajang pada Sabtu ini.
Tan berkata kongres itu akan mengambil kira pandangan kira-kira 50 wakil yang hadir dan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan.
“Ini bukan anti-Jawi atau menentang mana-mana agama. Ini bukan perkauman,” katanya. – 26 Disember, 2019.
Komen