Zakir Naik tidak diberi layanan istimewa semasa di Malaysia


Muzliza Mustafa

Kementerian Dalam Negeri menafikan memberi layanan istimewa kepada Dr Zakir Naik dan menegaskan beliau tidak pernah melakukan sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2017.

PUTRAJAYA hari ini menafikan memberi layanan istimewa kepada pendakwah Dr Zakir Naik semasa beliau berada di Malaysia seperti yang disangkakan beberapa pihak tertentu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata sepanjang tempoh beliau di sini, Zakir juga tidak pernah melanggar sebarang undang-undang.

Mengenai isu status penduduk tetapnya, KDN berkata ia dilakukan mengikut peraturan undang-undang berdasarkan pas masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Zakir dikehendaki di India kerana disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan, dan berulang kali gagal mematuhi perintah pihak berkuasa India bagi menghadirkan diri untuk disoal.

Khamis lalu, Agensi Penyiasatan Nasional India (NIA) memfailkan surat tuduhan terhadap Zakir kerana didakwa menghasut golongan muda kepada kegiatan keganasan dan memberi ucapan berbaur kebencian.

Lembaran pertuduhan setebal 58 muka surat itu mendakwa Zakir terlibat dalam tindakan berniat jahat dan menganggu keharmonian komunal.

Beliau juga dituduh menyalurkan dana untuk aktiviti anti-India.

Zakir pada April memberitahu  media akan bekerjasama dengan pihak berkuasa jika siasatan dijalankan secara neutral.

“Mereka boleh menemubual saya melalui Skype atau video tetapi mereka tidak mahu. Justeru, saya perlu pulang ke tanah air. Tetapi mengapa saya perlu melakukannya? Jika saya pergi ke sana, mereka akan menyeksa saya, mereka melakukan itu kepada orang Islam yang lain. Saya ada bukti,” kata Zakir selepas menghadiri satu acara di Kuala Lumpur, enam bulan lalu.

Beliau berkata keengganan NIA menerima cadangannya menunjukkan pihak berkuasa mempunyai motif tersembunyi.

“Siasatan yang pengecut, mereka tidak mempunyai keberanian. Jika mahu, mereka boleh datang ke sini untuk bercakap, jika anda mahu bersemuka maka datanglah untuk berbincang, datang ke tempat yang neutral,” kata Zakir.

KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan Malaysia belum menerima permintaan rasmi daripada India untuk bekerjasama dalam kesnya terhadap Zakir.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa memantau aktiviti Zakir di negara ini dan akan mengambil tindakan terhadapnya jika didapati terlibat dalam kegiatan keganasan,” kata kenyataan itu.

Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia bersedia membantu India dalam penyiasatan keganasan terhadap pendakwah Islam yang kontroversi itu jika diminta berbuat demikian.

Beliau berkata, Malaysia akan memberi bantuan dalam rangka kerja sistem undang-undang sertamengambil kira hubungan diplomatik yang ada di antara kedua-dua negara.

“Jika India meminta pertolongan kami, kami akan memberikannya. Ia bukan soal menyerahkan beliau, tetapi ia adalah mengenai siasatan (ke atas dakwaan keganasan),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia 2017.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, mengesahkan Zakir bukan warganegara Malaysia tetapi merupakan pemastautin tetap bagi tempoh lebih lima tahun.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata Zakir tidak memohon kewarganegaraan.

“Pemeriksaan menunjukkan tiada rekod permintaan yang dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan KDN adalah jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang meminta menteri dalam negeri menyatakan sama ada Zakir diberikan status penduduk tetap atau kewarganegaraan.

Beliau juga bertanya mengapa kerajaan Malaysia memberikan layanan istimewa kepada buruan yang dikehendaki bagi aktiviti berkaitan pengganas. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen