DUA bintang Korea Selatan yang melakonkan watak pasangan bercinta dalam sebuah drama TV yang menggegarkan Asia tahun lepas melangsungkan perkahwinan pada majlis yang ditunggu-tungu hari ini.
Pelakon Song Hye-Kyo,35, dan Song Joong-Ki,32, yang memainkan peranan utama dalam drama “Descendants of the Sun” berkahwin di majlis gilang gemilang di Seoul.
Drama itu yang mengisahkan seorang kapten tentera dalam misi damai di sebuah negara rekaan, Uruk, bertemu dan jatuh cinta dengan seorang pakar bedah bekerja dengan NGO perubatan.
Ia menjadi drama popular di seluruh Asia, meraih berbilion tontonan di China dan pujian ketua junta Thailand yang memuji semangat nasionalisme ditonjolkan dalam drama itu.
Drama 16 episod itu yang dianggap mengembalikan “Hallyu” atau Gelombang Korea K-pop dan K-drama yang menakluk Asia dan dunia sejak awal tahun 2000.
Drama itu juga mewujudkan industri mini apabila peminat di China membeli kosmetik, pakaian dan aksesori fesyen yang digayakan pelakon drama itu menerusi laman beli belah atas talian.
Majlis perkahwinan tertutup itu dihadiri personaliti utama industri hiburan Korea serta turut dihadiri Zhang Ziyi pelakon China terkenal yang membintangi filem “Crouching Tiger, Hidden Dragon”. – AFP, 31 Oktober, 2017.
Komen