Bajet 2018 gersang budaya


Hasmi Hashim

Kreativiti dalam bidang seni budaya mampu mempengaruhi aspek lain dalam kehidupan, termasuk cara berfikir masyarakat yang mengisi keperluan pendidikan sosial tidak formal.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2017.

BEGITU perihalnya tentang kebudayaan. Jarang dipandang penting. Termasuk dalam Bajet 2018, oleh Perdana Menteri Najib Razak pada Jumaat lalu.

Ada pun peruntukan RM20 juta untuk sebuah agensi baharu, Cendana adalah harapan paling minimum bagi karyawan yang mahu memulakan langkah sebagai karyawan. Bagi sebuah agensi yang baharu, RM20 juta adalah besar. Tapi sudah tentu, bagi seni-budaya nasional, jumlah itu ciput sekali. Hanya sekadar melepaskan batuk sahaja.

Seni-budaya sebenarnya meliputi kedua hal — “material” dan “bukan material”. Walaupun selalu kedengaran omongan segelintir aktivis atau pejuang budaya yang menyebutkan kebudayaan adalah perihal “bukan material”, pandangan sebegitu tidak sepenuhnya tepat.

Di negara maju, seni-budaya digolongkan juga sebagai “ekonomi jingga” atau orange economy. Pulangannya dalam bentuk wang ringgit bukan kepalang.

Sesebuah filem box-office, lagu-lagu yang hit, lelongan lukisan, penerbitan novel dan komik, persembahan teater seperti di Broadway dan lain-lain menyumbang pulangan besar kepada pendapatan dan pertumbuhan ekonomi. Sesetengah produk seni di negara tertentu bernilai lebih daripada peruntukan ketenteraan atau pembinaan sebuah empangan mega sekalipun.

Apabila kegiatan seni-budaya rancak, maka peluang pekerjaan pun wujud. Kreativiti dalam bidang berkenaan melimpah sehingga mempengaruhi aspek lain dalam kehidupan, termasuk cara berfikir masyarakat. Di sinilah perihal kebudayaan pun sempat mengisi keperluan pendidikan sosial yang tidak formal.

Apabila kita menghantar anak-anak ke sekolah atau universiti, anak-anak kita akan melalui satu sistem pendidikan formal. Mereka belajar daripada mengenal huruf, mengira, memahami benda; sebelum kemudiannya mampu membaca, membuat kira-kira yang rumit untuk keperluan kejuruteraan atau akaun, sampailah mereka mampu berfikir secara konsep dan falsafah.

Tetapi kehidupan ini sendiri lebih besar daripada secebis pendidikan formal. Dalam kehidupan kita, wujudnya ruang pendidikan tidak formal yang diisi dengan kebudayaan.

Ketika anak-anak kita menonton filem, mendengar lagu, membaca novel mahupun surat khabar, memilih baju dengan fesyen tertentu; maka di situlah pendidikan tidak formal tanpa sedar telah berlaku.

Apabila sesebuah masyarakat mempunyai pekerti yang tinggi, bererti kebudayaan dalam masyarakat itu tulus. Apabila sesebuah masyarakat menjadi biadab, itu petanda ada yang tak kena dalam aspek kebudayaan mereka.

Ambil contoh mudah, iaitu program di kaca TV sehingga ke ceramah agama atau politik. Kita boleh lihat ada di antara pengacara program TV yang berlawak jenaka dengan sangat kasar dan biadab. Mereka sanggup menyebutkan perkataan-perkataan yang tidak sewajarnya disebutkan di khalayak ramai. Apa yang dikejar hanyalah rating mendapatkan penonton semata-mata.

Keadaan seumpama juga dapat terlihat atau didengar dalam ceramah-ceramah agama mahupun kempen politik. Tentulah semua itu menunjukkan betapa rendahnya tamadun masyarakat kita, hari ini.

Keadaan rendah tamadun atau biadab sebegitu bukan sahaja berpunca daripada perkara-perkara yang ada kaitan dengan rendahnya kefahaman agama. Ada juga agamawan atau mereka yang bergelar ustaz tetap sama biadab, rendah adab dan bercakap lebih banyak daripada ilmunya. Mereka seakan hilang rasa malu dan segan, hanya kerana mereka ustaz atau “orang agama”.

Semua itu hanya membayangkan betapa rendahnya akal-budi umumnya masyarakat kita ini. Maksud “rendah akal-budi” ialah masyarakat yang sepertinya tidak berakal, tak menggunakan akal, dan, tidak berbudi. Apabila disebut sahaja “tidak berbudi” itu tidak lain adalah menunjukkan bahawa masyarakat yang rendah budaya.

Dalam bahasa mudah, kita telah menjadi “orang kasar”.

Apakah ertinya kalau pun bangsa ini semuanya menjadi kaya-raya, tetapi menjadi orang kasar? Bertimbun pun wang ringgit emas berlian, tetapi semua itu tidak akan mampu menjadikan orang kita sebagai masyarakat yang berakal dan beradab.

Di sinilah kalau hendak dikatakan bagaimana peri pentingnya aspek kebudayaan menjadi antara tunjang ketamadunan. Kebudayaan mahu tidak mahu merupakan salah satu daripada aspek pendidikan yang penting. Ada waktunya, ia bahkan lebih penting daripada pendidikan formal itu sendiri.

Atas kesedaran itulah, maka nenek moyang bangsa Melayu menciptakan bidalan yang sangat kuat dengan ungkapan, “biar mati anak, jangan mati adat.”

“Adat” dalam ungkapan itu juga bermaksud “adab”. Tanpa adab, anak akan menjadi kurang ajar. Kurang ajar kerana bukan sahaja tidak berilmu, tetapi juga gersang budaya.

Apalah ertinya anak-anak bangsa jenis ini yang akhirnya membuat kerosakan sahaja? – 31 Oktober, 2017.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen