Putra tubuh skuad mata-mata sukarelawan bantu Imigresen


Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata skuad sukarelawan itu dirancang menjadi benteng pertahanan ketiga selepas Imigresen dan pasukan Rela. – Gambar The Malaysia Insight oleh Nazir Sufari, 26 Disember, 2019.

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan menubuhkan skuad khas terdiri daripada lebih 2,000 sukarelawan sebagai penyalur maklumat kepada Jabatan Imigresen mengenai pelancong asing yang tinggal lebih masa di negara ini, kata naib presidennya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Skuad sukarelawan Putra itu dirancang akan menjadi benteng pertahanan ketiga selepas Imigresen dan pasukan Rela, kata Khairul Azam.

“Kalau boleh kita diterima sebagai pasukan sandaran selepas pasukan polis dan Imigresen, Rela, dan kita di belakang Rela.

“Kita akan bertindak dari segi membekalkan maklumat risikan kepada pihak berkuasa, tetapi ia tertakluk kepada pertemuan antara Imigresen dan polis,” katanya, pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairul Azam berkata, pihaknya juga sudah menghantar surat permohonan untuk temu janji bersama Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bagi membincangkan hal itu.

Namun setakat ini masih belum ada maklum balas, katanya.

“Kalau mereka nasihatkan kita masuk Rela kita masuklah tetapi Rela ada bajet dan peruntukan sendiri, mungkin mereka tak ambil orang lagi… tapi konsep kita sukarelawan, tiada uniform tapi memantau bagi pihak kerajaan,” tambahnya.

Jelas Khairul Azam, Putra mengambil langkah itu susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada awal bulan ini bahawa 90% pelancong daripada pelancong dari China dan India yang masuk ke Malaysia tidak mempunyai rekod keluar meninggalkan negara.

Sementara itu, beliau yang juga peguam memberi jaminan kepimpinan tertinggi Putra, termasuk Presiden Ibrahim Ali, akan mengambil tanggungjawab memastikan skuad sukarelawan itu tidak dianggap sebagai pengacau. 

“Mana mungkin Putra nak merancang sesuatu bertentangan dengan undang- undang. 

“Saya dan presiden akan pastikan kumpulan sukarelawan ini bukan kumpulan pengacau, sebab itu kami buat permohonan bertemu dengan ketua polis negara dan ketua pengarah Imigresen, dengan ada sukarelawan ini kita boleh manfaatkan untuk kebaikan negara,” katanya.

Putra juga akan membuat tapisan terperinci, atas faktor keselamatan, sebelum menerima mana-mana individu berdaftar sebagai sukarelawan, tambahnya.

“Skuad sukarelawan ini kita bezakan daripada Putra sebagai parti politik. Mereka dibezakan kerana bukan semua ahli Putra, tapi terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Kita hanya mengurus, menjadi orang tengah untuk hubungkan minat mereka dengan pihak berkuasa,” kata Khairul Azam.

Malah, katanya, Putra juga bersedia untuk menerima syarat ditetapkan pihak berkuasa dari segi latihan sekiranya diperlukan.

“Memang skuad ini nak terlibat dalam operasi tapi kena ada latihan dan kuasa, kita akan ikut segala proses berkenaan,” katanya.

Skuad sukarelawan itu juga terbuka kepada bekas pegawai imigresen, perajurit, dan pihak berkuasa tempatan.

“Mereka ini akan kita jadikan sebagai jurulatih bila kami buat program supaya kita dapat maklumat terkini bagaimana kami boleh membantu,” katanya lagi. – 26 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen