SARAWAK akan mencari jalan untuk mencalonkan kepada Unesco supaya mengiktiraf budaya rumah terbuka sempena perayaan pelbagai agama dan kaum di negeri itu sebagai warisan dunia, lapor The Borneo Post.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata budaya yang menyatukan masyarakat pelbagai agama dan kaum itu wajar mendapat pengiktirafan dunia.
“Kita akan lihat bagaimana prosesnya untuk mendapat pengiktirafan Unesco. Tentu ada prosesnya.
“Saya sangat menyokong cadangan itu,” katanya, seperti dipetik akhbar itu.
Karim mengulas cadangan yang disuarakan oleh timbalannya Sebastian Ting awal minggu ini.
Dalam satu majlis di Gereja Sidang Injil Borneo di Miri pada Ahad lalu, Ting berkata keunikan rumah terbuka yang disertai 27 etnik di Sarawak wajar disenaraikan sebagai warisan budaya dunia.
“Kita memiliki 27 etnik kaum atau kumpulan dan kebudayaan kaum kita adalah pelbagai dan sangat kaya.
“Di negara lain, saya tidak fikir mereka ada rumah terbuka sebegini di Sarawak. Kita ada 27 etnik meraikan bersama Hari Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Hari Gawai, Deepavali,” jelasnya. – 26 Disember, 2019.
Komen