.jpg)
SECARA tiba-tiba timbul persoalan dalam kalangan anggota masyarakat apakah masjid boleh atau tidak digunakan untuk sebarang majlis berkaitan sumpah atau sumpah laknat.
Rata-rata masih kurang jelas tentang hukum membabitkan perkara tersebut.
Mujur akhirnya Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil mengeluarkan kenyataan yang institusi masjid tidak seharusnya dimanipulasi oleh mana-mana pihak walaupun ia membabitkan kepentingan awam atau kes sedang dibicarakan di mahkamah.
Kenyataan ini sedikit sebanyak menjernihkan keadaan dan menjawab beberapa persoalan yang timbul walaupun ada pihak yang turut mempertikai kenyataan tersebut.
Apapun, tanpa merujuk kepada mana-mana insiden secara khusus, mari kita akui kenyataan betapa isu masjid disalah guna terutamanya oleh orang politik untuk pelbagai agenda peribadi bukanlah perkara baru di negara kita.
Isu ini muncul mengikut musim seperti musim pilihan raya serta perayaan.
Walaupun beberapa pihak berkuasa agama negeri termasuk Sultan sebagai ketua agama negeri pernah melarang perbuatan menggunakan masjid untuk tujuan politik, jelas sekali perkara tersebut masih berlaku.
Bezanya cuma sama ada ia didedahkan kepada khalayak ataupun tidak sahaja. Jadi isu ini perlu ditangani dengan segera, dengan lebih tegas dan serius.
Hakikatnya masjid adalah tempat yang cukup penting bagi seluruh umat Islam. Agenda dan fungsi utama masjid ialah untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada maha pencipta.
Justeru, masjid sewajarnya menjadi tempat yang paling neutral dan tidak disalah guna.
Hal ini penting kerana walau apa pun ideologi politik kita, bila mana menjejak kaki ke masjid kita berharap ideologi itu ditinggalkan di luar pintu masjid.
Semua orang baik orang kaya, orang miskin, orang politik, orang biasa, bos besar mahupun pekerja bawahan semuanya sama apabila berada dalam masjid.
Pangkat dan kedudukan tidak pernah menjadi ukuran apabila kita melakukan ibadat dan berada dalam masjid.
Malah masjid juga sewajarnya menjadi tempat untuk menyatupadukan seluruh umat Islam.
Misalnya, apa jua persengketaan, perbezaan pendapat mahupun perbalahan yang ada boleh dirungkai dan dilerai ketika kita sama-sama berada dalam masjid dengan niat yang baik dan hati yang jujur dan ikhlas.
Kita pasti boleh melupakan segala persengketaan yang ada dengan mudah dan membina semula perhubungan yang baik sesama kita.
Jadi kita rasa cukup geram dan marah apabila ada pihak yang terus degil dan masih dengan sengaja memanipulasi masjid untuk agenda peribadi.
Mencemarkan institusi yang cukup mulia ini tidak boleh dimaafkan sama sekali. Apatah lagi jika ia dicemari dengan politik kotor seperti menyebarkan fitnah atau berbohong, serta mengeji orang lain di samping mencetuskan pelbagai provokasi yang boleh memecah belahkan perpaduan sesama orang Islam.
Percaya atau tidak kita sudahpun menyaksikan pelbagai kejadian seumpama itu berlaku dalam masjid di negara kita sebelum ini.
Malah mana mungkin kita melupakan peristiwa di mana akibat terlalu taasub dengan ideologi parti ada masjid sebelum ini terpaksa bersolat dua kali dengan imam yang berbeza.
Ternyata ketaasuban politik mengatasi kepentingan agama dan persaudaraan dalam Islam.
Oleh itu, eloklah diwujudkan garis panduan yang jelas, adil dan standard tentang isu seperti ini supaya kesucian masjid dapat terus dipelihara.
Tidak kira ahli politik dari blok mana sekalipun wajib akur dengan garis panduan terbabit supaya dapat elak persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam masjid perlu dijelaskan dengan terperinci dalam garis panduan ini supaya anggota masyarakat jelas dan faham tentang penggunaan masjid untuk tujuan tertentu.
Akhirnya penulis ingin berpesan dan merayu kepada pihak terutamanya orang politik, sudah-sudahlah memanipulasi dan mencemarkan masjid.
Terdapat banyak lagi lokasi dan platform selain masjid untuk kalian gunakan bagi melunaskan agenda dan nafsu politik masing-masing.
Janganlah masjid diheret bersama, biarkanlah institusi masjid kekal neutral dengan fungsi asalnya demi perpaduan ummah.
Cukup-cukuplah dengan perpecahan yang ada dalam kalangan orang Islam angkara perbezaan ideologi politik, janganlah masjid pula digunakan untuk terus merobek tali persaudaraan yang semakin longgar dan uzur. Bebaskan masjid daripada agenda peribadi. – 26 Disember, 2019.
* Noor Mohamad Shakil Hameed adalah timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen