Menteri kabinet tidak boleh cuba jadi hero, kata pemimpin tinggi Bersatu


Diyana Ibrahim

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata menteri kabinet mesti bergerak sebagai satu pasukan mempertahankan keputusan yang dibuat oleh kerajaan, biarpun keputusan itu tidak popular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

MENTERI kabinet tidak boleh cuba jadi hero dengan mempersoalkan secara terbuka keputusan yang dibuat sendiri oleh Jemaah Menteri, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata menteri kabinet mesti bergerak sebagai satu pasukan mempertahankan keputusan yang dibuat oleh kerajaan, biarpun keputusan itu tidak popular.

“Ini masa kita deliver (berkhidmat kepada rakyat). Dalam kita nak deliver, paling penting peringkat atasan, kena sebulat suara sebab kerajaan ini modulnya dari Westminster, maksudnya sebuah kerajaan kabinet yang keputusan diputuskan mestilah sebulat suara.

“Tak boleh menteri kata A, macam itu kemudian pengarah agensi kata lain pula. Kalau nak bantah biarlah pembangkang (bantah),” katanya semasa diwawancara dalam forum Bicara Politikonomi di RTM1.

Menurut Wan Saiful, sekiranya ada keputusan yang tidak dipersetujui oleh menteri, bantahan itu biarlah dibincangkan secara dalaman dan tidak disuarakan secara terbuka.

“Hendak bantah sekali pun, jangan bantah dalam media sosial… bantah dalam WhatsApps sesama sendiri.

“Kena ada kematangan dalam politik dan ini yang rakyat nantikan… kerajaan Pakatan (Harapan) bergerak sebagai satu pasukan, bukan nak jadi hero,” katanya.

Wan Saiful menjawab soalan mengenai polemik terbuka di media sosial susulan keputusan kerajaan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi pelantikan baharu beberapa jawatan penjawat awam bermula 1 Januari ini.

Katanya, kritikan yang timbul mengenai pemansuhan elaun itu, termasuk dari kalangan menteri kabinet, menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju dan dasar kerajaan. 

“Saya pelik sebab takkanlah (menteri) tidak tahu nak potong elaun.

“Sepatutnya kerajaan nak potong awal kena bagitahu awal… bukan esok nak potong elaun hari ini baru bagitahu,” katanya.

Pemansuhan elaun kritikal itu menjadi bualan hangat di media sosial semalam dan semakin jadi perhatian selepas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritiknya secara terbuka di Twitter.

Katanya, tindakan itu tidak wajar dan menjejaskan banyak anak muda dalam sektor kerajaan.

Sebagai tanda bantahan, beliau membuat pengumuman memendekkan cuti tahunan, memulangkan elaun percutian sebagai menteri kabinet dan mengekalkan potongan gaji 10%.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad juga mengeluh di Twitter apabila ada salah faham mengenai isu berkenaan dan berhadap ada penjelasan yang baik dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam penjelasannya berkata BIPK yang mula diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 bukanlah skim kekal tetapi boleh ditarik balik, bergantung kepada keadaan dan keperluan.

Pemansuhannya juga adalah hasil kajian terbaharu tahun ini, selepas tiga kajian sebelum ini pada 1997, 2001, dan 2007.

Menurut JPA, hasil kajian menunjukkan semua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan BIPK tidak lagi kritikal. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen