China cadang simpan data genetik 80 juta orang


SATU platform penjujukan asid deoksiribonukleik (DNA) bersaiz super akan dibina di Nanjing, ibu negeri Wilayah Jiangsu yang terletak di timur China, untuk mewujudkan satu pangkalan data maklumat genetik bagi etnik Cina, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa kesihatan wilayah.

Projek DNA itu sebahagian daripada Pusat Data Besar Perubatan dan Kesihatan Nasional (Nanjing) bernilai enam bilion yuan (kira-kira AS$903.7 juta) yang sedang dibina di Kawasan Baharu Jiangbei, kata Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Wilayah, Lan Qing.

Semasa fasa pertama, maklumat perubatan dan kesihatan kira-kira 80 juta orang, bersamaan populasi Jiangsu, akan disimpan di pusat itu, kata Lan.

“Apabila fasiliti itu siap, kapasiti yang direka untuk penjujukan DNA adalah sehingga 400,000 ke 500,000 sampel setahun,” katanya.

Projek penjujukan DNA akan dilaksana bersama syarikat milik negara, Kumpulan Yangzi, Universiti Tenggara dan Universiti Perubatan Nanjing.

Para penyelidik akan menggunakan data besar yang dicipta dalam pangkalan itu untuk mengkaji mutasi genetik berkaitan penyakit utama, melihat impak interaksi antara gen dan perkara yang melibatkan persekitaran terhadap kesihatan manusia serta menyediakan sokongan statistik bagi diagnosis dan rawatan penyakit utama, kata Lan.

Cai Long, pengarah lembaga Kumpulan Yangzi, berkata program itu akan memfokus kepada genetik populasi, bayi baharu lahir, otak zaman kanak-kanak dan perkembangan kognitif, kanser serta penyakit kronik dan jarang berlaku.

Pangkalan data itu dijangka siap dalam tempoh kira-kira empat tahun, katanya. – Bernama, 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen