Pelajar maut tergelincir dalam parit


MAYAT seorang pelajar lelaki ditemui di dalam sebuah parit dipercayai lemas setelah tergelincir ketika mencuci luka selepas terlibat dalam kemalangan di Ladang Kelapa Sawit Tualang Tumbuh, Kampung Gajah di Parit malam tadi.

Mayat Muhammad Adib Muhammad, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam parit itu selepas rakannya serta beberapa penduduk sekitar melakukan operasi mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 11.57 malam tadi dan hasil siasatan mendapati mangsa disyaki telah meninggal dunia hampir enam jam sebelum laporan polis itu dibuat.

Katanya, ketika ditemui, mangsa yang memakai baju berbelang merah putih dan berseluar ‘track’ hitam mengalami kecederaan luka pada dahi kiri, kedua-dua belah tangan serta calar pada lengan kirinya.

“Siasatan bersama pihak forensik di tempat kejadian mengesyaki mangsa terlibat kemalangan motosikal iaitu terbabas sendiri berdasarkan kesan seretan tayar dan juga badan objek beroda sepanjang hampir 50 meter dari parit.

“Terdapat kesan cermin pecah dipercayai cermin sisi dan sedikit tumpahan minyak petrol di bahu jalan, namun ketika polis sampai di tempat kejadian, tidak menemui sebarang kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Barudin berkata hasil siasatan mendapati motosikal yang ditunggang mangsa ketika keluar dari rumah pada pukul 4 petang itu ditemui dua rakannya di tepi jalan yang kemudian menyerahkan motosikal tersebut kepada keluarga mangsa.

Katanya, kedua-dua rakannya itu telah berjanji bertemu dengan mangsa untuk memancing bersama-sama dan perkara itu turut diberitahu oleh mangsa kepada ibunya sebelum keluar rumah menaiki motosikal.

“Selepas menunggu mangsa yang tidak tiba sehingga jam lebih kurang jam 7 petang, mereka berdua menaiki sebuah motosikal bergerak pulang dan dalam perjalanan pulang telah menjumpai motosikal yang dinaiki mangsa dalam keadaan bertongkat di tepi jalan ban sebelah parit.

“Mereka cuba mencari mangsa namun gagal disebabkan keadaan gelap dan hanya menggunakan lampu telefon bimbit masing-masing dan turut menemui sebelah selipar warna hijau tidak jauh dari tempat motosikal itu dijumpai,” katanya.

Barudin berkata kedua-dua rakannya itu kemudian kembali ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa bersama beberapa lagi penduduk setempat sebelum menemui mangsa kira-kira tiga jam selepas operasi pencarian dijalankan.

Barudin berkata hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas dan terdapat kandungan air banyak dalam paru-paru.

“Pakar juga berpendapat bahawa mangsa masih lagi bernyawa dan masih mampu bangun untuk mengangkat dan menongkat motosikalnya itu sebelum turun ke tebing dan hilang imbangan lalu tergelincir dan jatuh tersembam muka ke dalam air selepas itu,” katanya. – Bernama, 24 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen