Suspek cabul kanak-kanak di tandas surau direman 6 hari


Tangkap layar dari rakaman CCTV menunjukkan suspek mencabul seorang kanak-kanak di tandas sebuah surau di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2019.

SUSPEK kes cabul kanak-kanak di sebuah surau di Sungai Petani, Kedah, yang video aksinya tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu, ditahan reman enam hari sehingga Ahad ini, lapor media.

Lelaki berusia 31 tahun itu pagi tadi dibawa ke mahkamah di Sungai Petani untuk diproses perintah tahanan reman ke atasnya selepas beliau menyerah diri kepada polis petang semalam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Mohammad Alif Abdul Aziz, lapor Harian Metro.

Lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori itu semalam menyerah diri di Balai Polis Bedong, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Shamsudin Mamat.

“Suspek menyerah diri dan mengaku melakukan jenayah cabul terhadap kanak-kanak perempuan berkenaan,” katanya, seperti dipetik BH Online.

Polis turut merampas baju yang dipakai oleh suspek semasa kejadian, yang dipercayai berlaku pada 13 Disember lalu.

Polis sebelum ini dua kali ke rumah suspek tetapi gagal menemui lelaki itu yang dipercayai melarikan diri sejak aksinya tersebar di media sosial.

Menurut polis, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, suspek telah datang ke surau berkenaan dengan motosikal. Beliau kemudian memanggil mangsa yang sedang bermain bersama sepupunya di taman permainan bersebelahan surau, dengan muslihat mahu menunjukkan sesuatu di tandas.

Rakaman CCTV menunjukkan suspek memeluk dan mencabul mangsa, sebelum mangsa melepaskan diri dan lari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – 24 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen