Air Selangor jangka bekalan pulih dalam tempoh 72 jam


Menurut Air Selangor, sebahagian kawasan berdekatan LRA Sungai Semenyih telah mula menerima bekalan air sejak awal pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2019.

GANGGUAN bekalan air kepada pengguna yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih secara berperingkat-peringkat sejak 1 pagi tadi dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangkakan bekalan pulih sepenuhnya dalam tempoh 72 jam.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya Abdul Halem Mat Som berkata, sebahagian kawasan berdekatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mula menerima bekalan air sejak awal pagi ini.

“Kakitangan Air Selangor sedang dalam proses menstabilkan tekanan di jajaran paip utama serta kolam-kolam utama. Pemulihan bekalan air kepada pelanggan akan berlaku secara berperingkat bergantung kepada kedudukan geografi dan altitud premis pelanggan.

“Kawasan yang berhampiran dengan sistem agihan dijangka menerima bekalan lebih awal dan begitu juga sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melakukan pemantauan dan ujian kualiti air secara berkala di LRA dan di Kolam Imbangan, dan mengesahkan air yang dirawat mamatuhi piawaian selain tiada bau dikesan.

Bagaimanapun, LRA Bukit Tampoi masih belum beroperasi semula kerana pencemaran bau masih dikesan di muka sauk dan bantuan kecemasan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas.

Pada Sabtu lepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berpunca akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik IWK itu.

Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak  328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas. – Bernama, 24 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen