SEORANG daripada pasangan kembar yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kilometer (KM) 1.1, Jalan Changkat Jering-Taiping, di Taiping, pada 7 Disember lalu, dikenal pasti sebagai Muhammad Nabil Muhamad Fakri, 16.
Ketua Polis Daerah Taiping, Osman Mamat berkata ibu kepada pasangan kembar itu yang baharu pulang dari tanah suci Mekah mengesahkan identiti Nabil, yang meninggal dalam kemalangan itu dan bukannya Muhammad Najib.
Beliau berkata sebelum ini, bapa mangsa yang maut mengesahkan Najib meninggal dunia pada hari kejadian, ketika pengecaman di bilik mayat di Hospital Taiping.
“Kedua-dua ibu dan bapa si mati membuat pembetulan laporan polis kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam kenyataan di Taiping hari ini.
Osman berkata bagaimanapun, adik kembar pasangan itu yang cedera parah dalam kemalangan tersebut iaitu Najib, 16, pula meninggal dunia di Hospital Taiping, pada pukul 2 pagi tadi.
Dalam kemalangan pada 12.35 pagi, 7 Disember lepas, pasangan kembar itu terbabit kemalangan setelah motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki mereka yang ditunggang Najib bertembung dengan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang P. Morhintheran, 23. – Bernama, 23 Disember, 2019.
Komen