POLIS sedang menyiasat di manakah Anwar Ibrahim sebenarnya berada ketika serangan seksual yang didakwa oleh Muhammed Yusoff Rawther berlaku, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Hamid berkata polis masih belum dapat menentukan lokasi Anwar semasa kejadian.
“Ada yang kata (lokasi) A, yang lain pula kata di B. Jadi polis perlu siasat di mana dan bila (Anwar berada) serta dapatkan maklumat yang betul,” katanya selepas menghadiri majlis serah tugas di Bukit Aman hari ini.
Yusoff mendakwa serangan seksual tersebut berlaku di kediaman Anwar di Bukit Segambut pada 2 Oktober tahun lalu.
Bekas pegawai penyelidik presiden PKR itu membuat akuan bersumpah pada November dan laporan polis pada 7 Disember.
Anwar menafikan tuduhan Yusoff dan berkata beliau sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil Port Dickson pada 2 Oktober tahun lalu. Anwar juga berkata beliau menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur pada siang harinya sebelum kembali ke Port Dickson.
Polis merakam keterangan Anwar pada 12 Disember lalu selepas penyiasat ke lokasi di kediamannya di Bukit Segambut, yang didakwa Yusoff sebagai lokasi kejadian serangan seksual.
Berkenaan keputusan ujian poligraf yang dijalani Yusoff minggu lepas, Hamid berkata ujian poligraf adalah untuk membantu penyiasat menentukan seseorang individu bercakap benar.
“Jika didapati benar, kita akan menggandakan usaha dalam memperoleh maklumat dan mencari bukti.
“Buat masa ini, saya tak tahu keputusan ujian poligraf dia (Yusoff).”
Pada 17 Disember lalu Yusoff menjalani ujian tersebut selama empat jam di Bukit Aman. Beliau yang ditemani peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla tiba pada jam 3 petang dan dilihat meninggalkan Bukit Aman pada jam 8.40 malam. – 23 Disember, 2019.
Komen