POLIS sudah memulakan siasatan ke atas akuan bersumpah bekas komando Azilah Hadri yang mendakwa Najib Razak mengarahkan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, kata Abdul Hamid Bador.
Ketua polis negara berkata akuan bersumpah itu disiasat memandangkan Azilah memfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mensabitkannya bersalah atas pembunuhan Altantuya.
“Beberapa saksi disenaraikan untuk dipanggil memberi keterangan. Kita juga akan menunggu arahan khusus dari Jabatan Peguam Negara.
“Tetapi kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk dijalankan,” kata Hamid selepas menghadiri majlis serah tugas di Bukit Aman hari ini.
Najib pada minggu lepas menafikan tuduhan dalam akuan bersumpah Azilah bahawa beliau adalah dalang pembunuhan Altantuya.
Bekas perdana menteri itu mempersoalkan mengapa akuan bersumpah itu muncul sekarang, dan berkata ia adalah konspirasi baharu yang dirancang oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mengalih perhatian rakyat dari kelemahan pentadbiran kerajaan.
Ditanya sama ada Najib akan dipanggil untuk beri keterangan, Hamid berkata semua yang terlibat dalam siasatan akan disoal.
“Saya beri jaminan kepada orang ramai polis akan sedang menyiasat apa sahaja yang boleh menjejaskan negara.”
Dalam akuan bersumpahnya bertarikh 17 Oktober, Azilah yang sedang menunggu hukuman mati berkata Najib yang mengarahkannya membunuh Altantuya, 28.
Turut dikaitkan dengan pembunuhan penterjemah itu adalah aide-de-camp Najib, Musa Safri.
Azilah juga mendakwa rakan rapat Najib, Abdul Razak Baginda juga mengarahkan Altantuya dibunuh dan mengesahkan arahan datang dari Najib. – 23 Disember, 2019.
Komen