Polis larang segmen pakaian renang Miss Astro Chinese


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata laporan media yang mengatakan pembatalan itu dibuat oleh DBKL adalah tidak tepat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2019.

PIHAK polis yang melarang segmen pakaian renang dalam pertandingan Miss Astro Chinese International Pageant (MACIP) tahun 2019, bukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini.

“Saya dimaklumkan, pihak DBKL telah memberikan kelulusan kepada Astro untuk menganjurkan pertandingan MACIP tersebut,” katanya ketika menjelaskan mengenai keputusan untuk melarang acara pakaian renang daripada Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shanmugamoorthy.

Menurutnya, laporan mendia yang mengatakan DBKL tidak memberi kebenaran untuk segmen pakaian renang adalah tidak tepat.

Lim berkata, semua lesen yang dikeluarkan oleh DBKL tertakluk kepada pandangan dan ulasan daripada pihak polis, dan kes ini adalah dibawah kawalan  Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Sentul kerana MACIP 2019 diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec).

“Atas dasar tersebut di atas, saya telah dimaklumkan oleh Ketua IPD Sentul, Tuan ACP S Shanmugamoorthy bahawa beliau telah buat keputusan menasihatkan dan menetapkan syarat tiada segmen berbaju renang dalam acara MACIP 2019,” tambahnya.

Lim bagaimanapun tidak setuju dengan syarat “remeh” yang dikenakan oleh ketua polis berkenaan kerana segmen itu sudah menjadi sebahagian daripada pertandingan berkenaan sejak 20 tahun lalu dan tidak pernah timbul isu mengenainya.

Sementara itu, Lim juga berkata Astro hanya membuat permohonan kepada polis dalam masa kurang dari lima hari sebelum acaranya berlangsung pada 21 Disember.

Menurutnya, wakil rakyat di Kuala Lumpur termasuk beliau sendiri mempunyai ruang masa bagi membantu penganjur dalam menangani masalah tersebut sekiranya permohonan permit dibuat 10 hari sebelum acara itu. – 23 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen