Apa lagi selepas Sidang Kemuncak KL?


TIDAK dapat dinafikan bahawa terdapat senario dan adegan penting yang harus digarap secara terus dalam acara yang julung kalinya diadakan di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019. 

Pengerusinya Dr Mahathir Mohammad memulakan ucaptama selaku tuan rumah dengan menyentuh beberapa hal yang signifikan dalam konteks dunia Islam secara umumnya. Menghimpunkan 450 delegasi mewakili 56 buah negara, membuktikan keseriusan Malaysia untuk mencari solusi mengenai isu semasa umat Islam. 

Beberapa tokoh berpengaruh dan terkemuka dunia Islam hadir antaranya Reccip Tayyip Erdorgan (Turki), Hassan Rouhani (Iran) serta Emir Qatar Sheikh Tamim Hamid Al-Thani (Qatar). Apa yang menarik, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dikatakan menarik diri saat akhir dek termakan dakyah Arab Saudi. 

Arab Saudi dan sekutunya antara pengkritik besar terhadap acara ini. Ia seolah-olah mengambil alih peranan secara tak rasmi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sudah sekian lama menyepi tanpa khabar berita. Keberkesanan OIC juga sepatutnya dipersoalkan dan didebatkan sejauh mana membantu negara-negara Islam saat ini.

Sesetengah penganalisis beranggapan keengganan Arab Saudi menyertai sidang kemuncak ini berpunca daripada kebimbangan diasingkan secara diplomatik oleh saingan serantaunya iaitu Iran, Qatar dan Turki, yang ketiga-tiganya menghadiri sidang kemuncak itu.  

Barangkali ini salah satu percaturan Dr Mahathir dalam mendapatkan kerjasama serantau dan menguji keabsahan serta keseriusan negara-negara Islam yang lain untuk berbicara soal nasib orang Islam yang susah dan miskin. 

Bukan sekadar itu sahaja, inti pati perbincangan juga meliputi soal perlarian, penukaran dolar AS kepada satu mata wang yang lain, dominasi ekonomi dunia, pendidikan secara umumnya serta kapasiti negara islam dalam memacu kejayaan di era revolusi perindustrian keempat darsawarsa ini

Bak kata Dr Mahathir: “Kita cuba bermula secara kecil dan sekiranya idea, cadangan dan penyelesaian diterima serta boleh dilaksanakan, maka kita akan membawanya ke platform lebih besar untuk dipertimbangkan”. 

Saya melihat inisiatif yang diketengehkan ini walaupun kelihatan minimum usahanya, haruslah didayakan setiap resolusi akhirnya. Kalau pun acara ini dikatakan bukanlah untuk melawan OIC, tetapi saya lihat ia boleh dijadikan sebagai ejen semak dan imbang kepada institusi yang sedang mencari hala tuju dan fungsinya. 

Arab Saudi dan sekutunya harus sedar bahawa peranan mengembalikan maruah negara Islam hari ini sangatlah mustahak bukan hanya memenuhkan perut dan nafsu masing-masing sahaja. 

Namun di sini terdapat beberapa persoalan yang harus difikirkan seraca mendalam. Apakah sebenarnya titik tolak kepada acara ini? 

Dengan memanggil dan menjemput semua negara Islam untuk berhimpun bersama berbicara mengenai nasibnya atau demi kepentingan sesebuah negara untuk menjadi blok dunia ketiga? 

Apakah keseriusan Dr Mahathir mengherdik sinis untuk tidak menggunakan dolar AS sebagai mata wang rasmi di rantau ini hanyalah sebagai retorik atau raih simpati? 

Jikalau acara ini hanya membangkitkan soal kerisauan umat Islam sahaja, OIC juga begitu. 

Apakah roadmap pasca Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 ini untuk menyelesaikan segala intipati perbincangan yang telah diutarakan sepanjang acara ini berlangsung? Fikir-fikirkan.

Kita sebagai pemerhati sidang kemuncak ini haruslah kritikal dan menagih kekuatan untuk mereka ini bertindak secara praktikal pasca sidang kemuncak ini. Selamat maju jaya buat Dr Mahathir dan pasukannya. – 23 Disember, 2019.

* Luthfi Yusri adalah penyelidik di Strategic Research and Development Team of HARMONI, Persatuan Belia HARMONI Universiti Malaya. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen