LOJI rawatan air di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terus ditutup hari ini menyebabkan lebih 1.5 juta pengguna di beberapa kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air untuk hari ketiga.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berkata bekalan air tidak dapat disambung semula selagi pencemaran bau di Sungai Semenyih mencapai tahap kosong pada kiraan angka ambang bau (TON).
“Berdasarkan pemantauan yang dijalankan sehingga 6 pagi ini, kadar pencemaran masih kekal di paras 1 TON dan adakalanya naik ke 2 TON.
“Sehubungan itu, pihak kami masih tidak dapat memulakan pengoperasian Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sehingga pencemaran bau mencapai tahap kekal 0 TON,” kata kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.
Langkah itu bertujuan memastikan tiada lagi pencemaran bau pada bekalan air kepada pengguna, tambah kenyataan itu.
Loji air terlibat ditutup sejak Sabtu kerana pencemaran bau dari sumber air mentah sehingga menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya, dan Kuala Langat.
Semalam, menteri besar Selangor diberikan gambaran oleh pihak pengurusan bencana bahawa bekalan air dapat dipulihkan malam tadi.
Katanya, kerja pembersihan setakat 4 petang semalam sebenarnya sudah membolehkan bekalan air dari loji itu selamat dan sihat untuk digunakan, namun bau yang kekal mungkin tidak selesa bagi pengguna.
“Harapan kita menjelang pukul 11 malam ini (semalam) kita sudah mula boleh menyambung balik bekalan ke akaun yang terjejas,” katanya kepada pemberita di Shah Alam.
Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (Span) semalam juga berkata akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang melakukan pencemaran itu.
Mereka sedang dikenal pasti akan dikenakan tindakan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air.
Span juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat hari ini untuk mencari kaedah terbaik bagi mengelak kejadian sama berulang. – 23 November 2019.
Komen