KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon maaf atas tindakan kakitangannya yang memaksa seorang pesakit kanser tampil sendiri ke pejabat badan itu untuk mengeluarkan caruman.
Badan itu menyatakan rasa kesal atas pengalaman pesakit berkenaan yang dibawa dengan ambulans dan disorong dengan katil hospital untuk mengeluarkan wang bagi menampung kos perubatan.
“KWSP amat kesal dan mohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami ahli tersebut dan keluarganya.
“Pihak KWSP telah menghubungi dan berjumpa dengan ahli tersebut dan keluarganya untuk memahami situasi ini dengan lebih lanjut,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Ia turut berikrar untuk menjadikan peristiwa tersebut melibatkan pesakit kanser tahap 4 itu sebagai satu teladan untuk memperbaiki mutu perkhidmatannya.
Kenyataan itu timbul susulan pendedahan waris pesakit tersebut mengenai tindak tanduk pegawai KWSP yang berkeras agar wanita yang menderita kanser itu hadir sendiri ke hospital.
Waris berkenaan, Nur Sheila Abdullah dalam kenyataan di Facebook menyebut kakaknya itu hanya mahu mengeluarkan wang tabungan yang berbaki kurang RM10,000 bagi kos rawatan itu.
“Kami meminta jasa baik pihak pegawai KWSP membuat lawatan ke rumah untuk mendapatkan cop jari secara manual dan pengesahan diri pencarum.
“Beliau (pegawai) kata tidak boleh. Pencarum mesti hadirkan diri di pejabat. Tak kisahlah nak datang naik ambulans dan menggunakan stretcher pun boleh.
“Pegawai perubatan menolak stretcher masuk ke kaunter. Allahuakbar… Sedih tengok kakak saya yang memang sudah tidak ada daya upaya mengangkat tangannya itu, terus menjadi tontonan orang ramai.”
Kes dialami kakaknya itu melibatkan sebuah pejabat KWSP di Johor, kata Nur Sheila dalam tulisannya di Facebook semalam.
Beliau turut mengemukakan saranan kepada KWSP melalui satu borang maklum balas pelanggan agar badan berkanun itu memperbaiki tahap perkhidmatan.
Peristiwa itu menimbulkan kecaman masyarakat di media sosial yang antara lain menganggap tindakan KWSP tidak berperikemanusiaan. – 22 Disember, 2019.
Komen