Gabenor Jakarta tunai janji, tutup hotel maksiat


Permit operasi Hotel Alexis di Jakarta tidak dilanjutkan susulan ia didapati menjalankan perkhidmatan pelacuran. – Gambar Jakarta Post, 31 Oktober, 2017.

GABENOR Jakarta Anies Baswedan tidak membenarkan permit operasi Hotel Alexis di utara ibu kota Indonesia itu diperbaharui, kerana katanya sudah terbukti hotel itu menjalankan perniagaan perkhidmatan pelacuran.

Ketika kempen pemilihan gabenor, Anies secara jelas menyebut nama hotel berkenaan dan berjanji untuk menutupnya jika terpilih sebagai gabenor kerana aktiviti maksiat di situ.

“Kami tidak mahu Jakarta jadi kota yang membenarkan pelacuran berlangsung. Kami terima laporan dan aduan penduduk selain laporan media mengenai pelacuran di hotel itu,” katanya dipetik daripada Jakarta Post.

Portal itu melaporkan, selama ini hotel itu dikhabarkan menjadi lokasi penganjuran perkhidmatan pelacuran berkelas tinggi.

Anies dipetik sebagai berkata hotel itu menjalankan operasi haram dan beliau akan menghantar pegawai untuk memantau kegiatan di situ bagi memastikan aktiviti maksiat dihentikan.

Sementara itu, CNN Indonesia melaporkan lesen operasi Hotel Alexis sudah luput pada akhir Ogos lalu dan pihak pengurusannya membuat permohonan untuk memperbaharui lesen berkenaan secara dalam talian pada September.

Susulan itu, surat permit operasi tidak dilanjutkan kemudian diserahkan kepada hotel berkenaan.

Pengurusan Hotel Alexis berkata ia hanya menyediakan perkhidmatan mengurut.

Sementara itu, wakil ketua Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia Fahri Hamzah berkata beliau menyokong tindakan Anies kerana menunaikan janji kempen dan menghentikan tempat hiburan yang menyediakan perkhidmatan haram.

Fahri dipetik sebagai berkata beliau turut mencadangkan supaya tempat hiburan lain yang menyediakan aktiviti maksiat seperti itu juga ditutup. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen