SEBANYAK 17 kapal nelayan asing ditenggelamkan di dua perairan Indonesia pada Ahad, selepas didapati terbabit dalam operasi menangkap ikan secara haram di negara itu, lapor Jakarta Post.
Menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti dipetik sebagai berkata tindakan menenggelamkan kapal itu bukti yang republik itu sangat dedikasi dalam melindungi perairannya demi masa depan Indonesia.
Sejak Januari, sebanyak 88 kapal dari negara jiran Indonesia ditenggelamkan selepas pihak berkuasa mendapati ia terbabit dalam operasi menangkap ikan haram.
Pada Ahad, 10 kapal ditenggelamkan di perairan Natuna, sementara tujuh yang lain di perairan Tarempa, kedua-duanya di kawasan Kepulauan Riau.
Susi mengetuai acara itu dari atas kapal pengawasan perikanan Orca di Teluk Lampa, wilayah Natuna, lapor Jakarta Post.
Pengarah pasukan petugas khas Wahyudi Hendro Dwiyono berkata berbeza dengan kapal lain yang ditenggelamkan sebelum ini, 17 kapal terbabit tidak menggunakan bahan letupan.
Sebaliknya, kapal itu ditebuk lubang di bahagian badannya.
Sebelum ini, acara menenggelamkan kapal asing dilakukan di 13 lokasi di seluruh Indonesia. – 31 Oktober, 2017.
Komen