PENCEMARAN yang menyebabkan loji rawatan air Sungai Semenyih ditutup hari ini bukan berpunca daripada loji rawatan kumbahan Bandar Putra Mahkota tetapi disebabkan akibat bahan yang dibuang secara haram di lokasi berdekatan, kata Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).
IWK berkata pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung penemuan sisa bahan itu yang dibuang berdekatan premis loji rawatannya.
Walaupun bau busuk menyebabkan penutupan loji rawatan air itu dan gangguan bekalan air di Lembah Klang, sumber pencemaran itu bukan daripada loji kumbahan milik IWK
“Apabila bau dikesan, IWK menghentikan operasi buat sementara bagi menjalankan tugas pembersihan. Setakat pukul 7 malam tadi, tiada lagi bau dikesan dari aliran air kumbahan.
“Siasatan di lubang pembentungan di kawasan itu juga dijalankan dan bahan buangan yang mempunyai bau sama telah ditemukan.
“IWK membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian ini.
“Amat mengecewakan apabila ada pihak mula menyalahkan IWK atas pencemaran yang berlaku sedangkan sumber pencemaran itu berpunca daripada sisa buangan haram,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pekerja IWK menyiasat sumber bau dan pencemaran bersama pegawai dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pembekal air negeri Air Selangor Sdn Bhd.
Menurut IWK, kes yang sama melibatkan pembuangan sisa secara haram juga berlaku berdekatan lojinya pada September.
Kata syarikat itu pihaknya sentiasa memastikan kesemua 7,000 loji rawatan air berada dalam keadaan terbaik dan mematuhi prosedur bagi mengelakkan berlaku kebocoron atau pencemaran.
Penutupan loji rawatan air Sungai Semenyih pukul 10 pagi tadi menjejaskan pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan beberapa kawasan di Putrajaya.
Senarai kawasan yang terjejas boleh disemak di laman web Air Selangor.
Air Selangor tidak memberikan tempoh gangguan bekalan air itu akan berakhir serta jangkaan loji rawatan yang terjejas boleh menyambung semula operasi. – 21 Disember, 2019.
Komen