KENAIKAN gaji minimum kepada RM1,200 bagi pekerja di kawasan bandar bermula tahun depan bukan satu kejutan kerana ia sudah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober lalu.
Majikan sudah bersedia menghadapi kenaikan itu tetapi pengumuman Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini tentang senarai 57 bandar untuk mengehadkan gaji minimum, tidak menjelaskan bagaimana langkah itu akan dilaksanakan.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata beliau tidak faham bagaimana senarai itu dipilih kerana hanya 15 bandar diiktiraf secara rasmi di Malaysia.
Beliau mempersoalkan 42 lagi “bandar” yang disenaraikan.
Presiden Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia Michael Kang juga mempersoalkan bagaimana senarai bandar itu dikenal pasti.
Soalnya lagi, bagaimana gaji minimum itu dikuatkuasakan jika tempat kerja terletak di luar sempadan kawasan bandar yang disenaraikan.

“Kesemua 57 bandar ini meliputi seluruh negara dan ia amat berbeza dengan pengumuman bahawa dasar itu akan dilaksanakn di kawasan bandar saja.
“Bandar utama perlu melibatkan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, serta beberapa bandar lain. Kenapa Semenyih dan Kajang juga disenaraikan?
“Bagaimana jika ibu pejabat syarikat melaksanakan gaji minimum RM1,2000 tetapi membuka cawangan di luar kawasan bandar,” kata Koang kepada The Malaysian Insight.
Pada 18 Disember lalu, Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran mengumumkan gaji minimum RM1,200 akan berkuatkuasa pada 1 Januari di 57 bandar di seluruh negara.
Senarai itu termasuk Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Johor Bahru, Batu Pahat, Bandar Melaka, Alor Setar, Bandar Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Terengganu, Bentong dan Teluk Intan.
Di Timur Malaysia, kawasan yang terlibat adalah Kuching, Miri, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Langkah itu dibuat selaras dengan janji pilihan raya kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menaikkan gaji minimum secara berperingkat sehingga RM1,500 dalam tempoh lima tahun.
Kenaikan terakhir gaji minimum dilaksanakan pada Januari tahun ini dengan menyelaraskan RM1,100 sebagai gaji minimum di Semanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak.
Sebelum ini, gaji minimum di seluruh negara ditetapkan RM1,000 di semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak.
Shamsuddin membangkitkan persoalan bahawa kerajaan masih belum menunaikan janji memberikan subsidi RM250 bagi setiap pekerja sektor swasta bagi meringankan beban menampung kenaikan gaji minimum.
Perkara ini diumumkan oleh Kula Segaran pada Julai 2018 apabila kerajaan sedia membelanjakan RM1 bilion bagi memberi subsidi kepada sektor swasta.
Namun langkah ini dipercayai dilakukan apabila gaji minimum mencecah RM1,500.
“Majikan belum menerima walaupun satu sen (subsidi) dan mereka terpaksa menanggung kenaikan kos,” kata Shamsuddin.
Beliau berkata kenaikan gaji minimum dilaksanakan ketika keadaan ekonomi tidak menentu dan hanya akan menyebabkan syarikat terpaksa memotong lebih banyak kos.
Sebagai contoh katanya, rangkaian pasar raya seperti Giant dan Cold Storage kini menstruktur semula operasi dan terpaksa menutup beberapa cawangan.
Selain itu katanya industri media juga berdepan dengan krisis.
Beliau menjangkakan perniagaan eksport antara yang bakal terjejas dengan kenaikan gaji minimum ini ekoran peningkatan harga dalam tempoh yang singkat.
Jelasnya kenaikan gaji itu juga akan menyebabkan kenaikan harga barangan.
“Kenaikan gaji minimum akan memberi keuntungakan kepada pekerja asing berbanding pekerja tempatan yang kebanyakannya mengambil pekerjaan gaji minimum itu,” katanya. – 22 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen