Bekas pemimpin Catalonia lantik peguam Belgium


Presiden Catalonia Carles Puigdemont dikatakan melantik peguam Belgium yang pakar dalam permohonan suaka ketika Madrid dilaporkan sedang meneliti tuduhan pemberontakan terhadapnya. – Gambar AFP, 31 Oktober, 2017.

PRESIDEN Catalonia Carles Puigdemont yang disingkirkan oleh kerajaan pusat Madrid minggu lalu, dilapor mendapatkan nasihat perundangan daripada seorang peguam Belgium yang pakar dalam permohonan suaka.

Pada masa ini pendakwa raya Sepanyol sedang meneliti tuduhan ke atasnya yang mungkin termasuk dakwaan pemberontakan.

Peguam Paul Bekaert berkata Puigdemont berada di Belgium bukan untuk memohon suaka, sebaliknya mendapatkan nasihat guaman terhadap tindakan perundangan Madrid.

“Belum ada apa-apa yang diputuskan berhubung permohonan suaka. Saya bercakap dengannya secara peribadi di Belgium dan beliau secara rasmi melantik saya sebagai peguamnya.

“Saya berpengalaman lebih 30 tahun dengan ekstradisi dan permohonan suaka politik bagi rantau Basque Sepanyol dan mungkin kerana itu beliau memilih saya,” katanya kepada stesen televisyen Belanda, VRT.

Cawangan media Sepanyol melaporkan, Puigdemont menemui peguam itu bersama beberapa anggota kerajaan yang disingkirkan.

Bekaert salah seorang daripada peguam untuk Luis Maria Zengotitabengoa, seorang anggota disyaki kumpulan pemisah bersenjata Basque, ETA, yang mana ekstradisinya dari Belgium ke Sepanyol diluluskan pada 2010.

Ketua Pendakwa Raya Sepanyol Jose Manuel Maza berkata beliau sedang meneliti dakwaan termasuk pemberontakan dan hasutan terhadap pemimpin Catalonia itu yang membawa hukuman penjara 30 tahun.

Maza berkata mereka mencetuskan krisis institusi yang menjurus kepada pengisytiharan kemerdekaan unilateral pada 27 Oktober lalu dan penghinaan menyeluruh terhadap perlembagaan.

Mahkamah sedang menimbang untuk meneruskan dakwaan itu.

Bagaimanapun, beberapa pakar berkata mustahil Puigdemont akan dapat memperoleh status pelarian politik di Belgium.

“Agak luar biasa untuk mendapat suaka bagi rakyat di negara Kesatuan Eropah (EU).

“Beliau perlu membuktikan ancaman pendakwaan di negara asal dan ketiadaan perlindungan di sana, yang mungkin bertentangan dengan dasar menghormati hak asas disyaratkan kepada anggota EU,” kata wakil agensi pelarian Belgium, CGRA, Dirk Van Den Bulck, kepada televisyen RTBF. – AFP, 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen