ICC buka siasatan jenayah perang di Palestin


ICC semalam berkata akan membuka siasatan penuh terhadap dakwaan jenayah perang di wilayah Palestin. – Gambar EPA, 21 Disember, 2019.

MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan akan membuka siasatan penuh terhadap kes jenayah perang di wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel termasuk Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza.

Ketua Pendakwa ICC Fatou Bensouda dilaporkan berkata, beliau puas hati dengan asas untuk menjalankan siasatan berkenaan jenaya perang di wilayah bergolak itu.

“Saya puas hat terdapat asas yang memadai untuk meneruskan siasatan mengenai keadaan di Palestin.

“Secara ringkas saya puas hati bahawa jenayah perang sudahpun atau sedang dilakukan di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza,” katanya dalam kenyataan dipetik agensi berita.

Bagaimanapun, tribunal yang berpengkalan di Hague itu perlu menentukan wilayah dalam bidang kuasanya terlebih dahulu kerana Israel tidak menganggotai mahkamah itu.

Perkara itu perlu ditentukan segera agar siasatan dalam dimulakan demi kepentingan mangsa jenayah perang dan komuniti yang terjejas, katanya.

Siasatan oleh ICC akan membawa kepada pendakwaan individu terlibat dan bukannya ke atas sesebuah kerajaan.

Keputusan itu susulan laporan bertarikh 5 Disember ke atas siasatan awal selama lima tahun mengenai bukti kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

Mahkamah itu menyiasat bukti mengenai konflik Israel-Gaza pada 2014 yang mengorbankan 2,251 warga Palestin, kebanyakannya orang awam, dan 74 warga Israel, kebanyakannya anggota tentera.

Pengumuman itu dialu-alukan pemimpin Palestin yang menyifatkannya sebagai langkah yang sepatutnya sudah lama diambil oleh ICC.

Keputusan ICC itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan Israel yang menganggapnya mahkamah itu menjadi “alat politik” untuk menentang negara tersebut. – 21 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen