BEKAS pengerusi kempen Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump diletakkan dalam tahanan rumah ketika siasatan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden 2016 beralih ke peringkat penting untuk pentadbiran White House.
Selepas pendakwaan gelombang pertama didedahkan, Paul Manafort dan seorang lagi pembantu presiden dihadapkan ke mahkamah, mengaku tidak bersalah terhadap konspirasi menentang AS, melakukan pengubahan wang haram dan beberapa dakwaan lain.
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan AS$10 juta (RM42.37 juta) dan AS$5 juta (RM21.19 juta) serta dikenakan tahanan rumah.
Seorang lagi bekas pembantu kempen Trump, George Papadopoulos mengaku bersalah kerana berbohong dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenai hubungannya dengan Kremlin.
Pendakwaan terbuka itu pendedahan mengejutkan daripada penyiasat khas FBI Robert Mueller selepas beberapa bulan spekulasi mengelirukan antara kaitan kempen Trump dengan Moscow.
Walaupun tidak dapat menyediakan konspirasi peringkat atasan, dakwaan itu menuding kepada corak potensi sekutu atasan Trump mengintai Rusia dan proksinya untuk keuntungan politik dan ekonomi.
Manafort, 68, dan Rick Gates, 45, didakwa menyembunyikan jutaan dolar wang diperoleh daripada ahli politik Ukraine, Viktor Yanukovych dan parti politik pro-Moscow.
Papadopoulos, bekas penasihat dasar luar Trump mengakui cuba menyembunyikan hubungan dengan profesor dikaitkan Moscow yang menawarkan “maklumat kotor” lawan Trump, Hillary Clinton.
Pendedahan itu mencetuskan reaksi marah dan penafian daripada Trump, yang menolak dakwaan terbabit serta menggesa Clinton turut disiasat.
Papadopoulos mendedahkan ada memaklumkan Trump dan yang lain secara peribadi bahawa beliau boleh mengatur pertemuan dengan calon dan Presiden Rusia Vladimir Putin ketika itu.
Bekas penasihat itu memberitahu FBI, beliau diarah oleh seorang penyelia kempen tidak dinamakan untuk bertemu pegawai Rusia secara rahsia jika boleh. – AFP, 31 Oktober, 2017.
Komen