Doktor gigi palsu dan Revolusi Industri Keempat


BARU-BARU ini, negara kecoh dengan adanya “Fake Dentist” atau doktor gigi tidak bertauliah yang menawarkan perkhidmatan sama dengan mereka yang bertauliah. Rata-rata doktor gigi palsu ini terdiri daripada orang muda dan bukan “tukang gigi atau pandai gigi” kampung zaman dulu.

Dari mana datangnya doktor gigi palsu ini?

Dalam sebuah video terbitan World Economic Forum, diceritakan kisah seorang remaja berusia 18 tahun yang mendapat anugerah kerana berjaya menghasilkan teknik meningkatkan produktiviti tanaman jagung.

Apa yang membingungkan ialah dari mana remaja ini mendapat ilmu tersebut sedangkan dia belum pun layak masuk ke universiti. Apabila ditemuramah, remaja ini mengakui ilmu itu daripada menonton Youtube sejak berusia 12 tahun dan membuat kajian secara dalam talian.

Begitu jugalah ceritanya dengan doktor gigi palsu di Malaysia. Di Malaysia, doktor gigi palsu ini dihukum dan dicemuh kerana melanggar peraturan dan undang-undang. Masyarakat dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan mereka yang tidak bertauliah.

Mengapa masyarakat menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu ini? Pertama, kerana perkhidmatan itu murah dan kedua, kerana kagum dengan kepakaran anak muda itu.

Mengapa perkhidmatan mereka murah dan boleh menjadi pakar pada usia mentah?

Jawapannya ialah The Fourth Industrial Revolution. Mengurus tadbir dan mengawal selia doktor gigi palsu dan perkhidmatan Uber adalah cabaran baharu yang akan mengubah sistem pentadbiran negara.

5 juta pekerjaan akan lenyap menjelang 2020

Dianggarkan warga kerja dunia akan berdepan dengan kehilangan 5 juta pekerjaan kesan kemajuan teknologi menjelang 2020.

Revolusi Perindustrian Keempat (The Fourth Industrial Revolution) mengakibatkan perubahan persekitaran kerja dan kemahiran yang diperlukan untuk bidang kerja sedia ada.

Mengikut World Economic Forum, sesetengah jenis pekerjaan akan pupus terus manakala kebergantungan terhadap kemahiran dalam kebanyakan bidang pekerjaan akan berubah.

Gelombang keempat revolusi perindustrian turut menghasilkan jenis pekerjaan baru yang tidak pernah wujud sebelum ini – antaranya saintis maklumat atau data (data scientist).

Bagaimana kita menghadapinya?

Gangguan kemahiran adalah cabaran utama bagi tenaga kerja sedia ada. Akibat kepesatan teknologi yang menghasilkan produktiviti lebih tinggi dengan cekap serta pantas, maka kebanyakan pekerja perlu mempertingkatkan kemahiran atau mempelajari kemahiran baru untuk terus bekerja dalam bidang sedia ada.

Perubahan ini sudah berlaku sejak zaman Revolusi Perindustrian Ketiga, contohnya apabila mesin taip diganti dengan komputer mengakibatkan jurutaip terpaksa mempelajari komputer dan akhirnya jawatan jurutaip pupus apabila semua pekerja mahir menaip dengan komputer. Begitu juga dengan jawatan jurutol di Malaysia yang wujud dan pupus dalam tempoh dua tiga dekad saja.

Bagaimanapun, kepesatan perubahan teknologi yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian Keempat adalah pada kadar kepantasan yang tidak pernah dialami oleh kita. Gangguan kemahiran dilihat dalam sektor perkhidmatan kewangan dan pelaburan.

Jawatan seperti juruwang di kaunter bank sudah hampir pupus sama sekali. Tetapi ia tidak berakhir di situ kerana sektor ini akan melihat gangguan kemahiran berterusan.

Antara sektor lain yang turut kritikal ialah sektor infrastruktur, ICT, perkhidmatan profesional, kesihatan serta media dan hiburan.

Perkhidmatan media sudah lama dikatakan akan menghadapi gangguan kemahiran. Contohnya bidang kewartawanan akhbar cetak diganti dengan kemahiran kewartawanan digital.

Bagaimanapun, ramai yang salah faham dan berpendapat yang berubah hanya medium saja. Contohnya kalau mereka menulis berita untuk Utusan Malaysia, selepas ini mereka hanya perlu berpindah menulis untuk portal berita online.

Ini antara kesilapan ketara. Perubahan medium juga disebabkan dan menyebabkan perubahan selera dan tabiat pembaca.

Apabila berlaku gangguan kemahiran, bererti keperluan kepakaran untuk bidang tugas tersebut sudah berubah. Ini kerana bidang tugas itu memerlukan kemahiran berlainan.

Dulu kala tukang potong rumput hanya perlu sihat tubuh badan, sekarang ia dipanggil tukang mesin rumput dan dia memerlukan keupayaan menggunakan mesin. Pada masa depan ada dua kemungkinan, satu, tukang mesin rumput memerlukan kemahiran mengawal jentera dari jauh dengan menggunakan alat kawalan jauh atau pekerjaan itu pupus terus kerana kawasan awam ditanam dengan rumput diubah suai secara genetik menyebabkan ia tidak perlu dipotong. Aha!

Ibu bapa perlu prihatin kepada perubahan. Anak-anak perlu didedahkan kepada kaedah menyesuaikan diri dan keupayaan untuk menguasai kemahiran baru. Kemahiran yang belum ada sewaktu pengajian mereka.

Anak-anak juga perlu diasuh dari kecil untuk mengkaji dan menerokai pelbagai bentuk kemahiran. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu benar-benar memahami cabaran yang didepani dan perlu segera mencari penyelesaiannya.

Jika kita mengakui tidak dapat memahami atau menguasai revolusi perindustrian keempat ini, maka menjadi tanggungjawab kita menjelang pilihan raya kelak untuk mengundi mereka yang boleh diharapkan melakukannya untuk kita.

Seperti kata Klaus Schwab, pengasas dan pengerusi eksekutif World Economic Forum: “There has never been a time of greater promise, or one of greater potential peril.”

* Syed Azidi S A Aziz ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen