NGO bimbang ramai remaja, kanak-kanak murung


Kalidevi Mogan Kumarappa

Hampir 18.3% daripada rakyat Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menderita akibat kemurungan, 39.% kebimbangan, dan 9.6% akibat tekanan.– Gambar EPA, 20 Disember, 2019.

KESIHATAN mental di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini amat membimbangkan kerana hampir 18.3% daripada golongan itu menderita akibat kemurungan, menurut satu NGO.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendedahkan demikian dalam Laporan Mengenai Status Hak Kanak-Kanak di Malaysia 2018 yang dilancarkan hari ini.

Ketua Bahagian Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Melissa Mohd Akhir berkata, ini kajian itu menunjukkan remaja 13 hingga 17 tahun itu tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan terbaik di negara ini.

“(Berdasarkan data) Institut Kesihatan Awam, hampir 18.3% daripada rakyat Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menderita akibat kemurungan, 39.% kebimbangan, dan 9.6% akibat tekanan.

“Data dari sumber yang sama menyatakan 10% daripada remaja pernah mempunyai idea untuk bunuh diri, 7.3% melakukan pelan untuk bunuh diri dan 6.9% pernah cuba untuk bunuh diri,” katanya.

Menurutnya, golongan itu biasanya terpaksa menunggu lama dan menanggung kos perubatan yang tinggi di hospital swasta dan peluang terhad untuk mendapatkan khidmat doktor pakar.

“Keadaan ini lebih teruk di kawasan pedalaman apabila pakar kesihatan mental hanya tertumpu di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Selain itu, pakar kesihatan mental yang memberi fokus kepada kanak-kanak dan remaja juga lebih kurang daripada mereka yang menawarkan perkhidmatan kepada golongan dewasa di mana hanya ada 20 pakar psikiatri kanak-kanak di negara buat masa sekarang,” katanya.

Mengulas lanjut, Melissa berkata, kegiatan membuli juga antara faktor penyebab peningkatan penyakit mental kepada kanak-kanak dan remaja di negara ini, yang dialami 16.2% remaja.

Selain itu, katanya, negara ini juga menghadapi masalah dari segi kekurangan pakar psikiatri, pada nisbah 1.1 : 100,000 populasi rakyat.

Jumlah itu jauh lebih rendah daripada tanda aras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Melissa berharap kerajaan dapat mengambil langkah berkesan untuk memperbaiki perkhidmatan kesihatan mental untuk golongan itu meningkatkan tenaga kerja pakar dan kursus latihan.

Laporan Mengenai Status Hak Kanak-Kanak di Malaysia 2018 itu dihasilkan kumpulan itu dalam usaha mengetengahkan isu berkaitan hak asasi kanak-kanak terkini di negara ini.

Selain itu, laporan berkenaan bertujuan menggantikan laporan yang patut dikeluarkan oleh kerajaan empat atau lima tahun sekali mengikut Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. – 20 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen