Perhimpunan 13 November ini tuntut kerajaan Sarawak percepat isu hak tanah adat


Desmond Davidson

Nicholas Mujah (berdiri), penyelaras Borneo Indigenous People Pact, Peter John Jaban (duduk, kiri) dan sukarelawan sedang mengemaskini poster yang akan digunakan untuk Perhimpunan Aman Solidarity Orang Asal pada 13 November ini. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2017.

SEKUMPULAN pergerakan masyarakat sivil akan mengadakan perhimpunan di Kuching 13 November ini bagi menekan kerajaan Sarawak supaya mempercepatkan pindaan kanun Tanah Negeri.

Perhimpunan itu yang bertepatan dengan bermulanya sidang Dewan Negeri, akan diadakan setelah dua keputusan mahkamah memutuskan untuk tidak menyebelahi pemilik tanah asli kaum Dayak Sarawak.

Salah seorang ketua perhimpunan itu, Nicholas Mujah yang juga setiausaha Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia) berkata kawasan Perhimpunan Aman Solidariti Orang Asal akan diadakan di tebing Sungai Sarawak, berhadapan dengan Dewan Undangan Negeri di Kuching.

Mujah berkata, memorandum akan diserahkan kepada dewan negeri ketika perhimpunan berlangsung.

Perhimpunan yang didominasi oleh NGO Dayak itu juga akan disertai oleh kumpulan Melayu dan Panggau.

Pengerusi Panggau Awang Alim Ahmad berkata, walaupun peserta perhimpunan itu kebanyakannya Dayak, kaum Melayu juga akan sertai memandangkan mereka juga melalui masalah tanah yang lebih kurang sama.

“Bukan sahaja Dayak yang ada masalah. Melayu dan Melanau juga,” kata Awang yang berasal dari masyarakat nelayan Asajaya.

Dianggarkan 24 NGO dan pergerakan masyarakat sivil akan terlibat dalam perhimpunan itu, termasuk Borneo Indigenous People Pact (BIPP), S4S Orang Asal Sarawak, Saya Anak Sarawak (SAS), Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (Tahabas), Jaringan Orang Asal SeMalaysia( JOAS) and Dayak Rights Action Force (DRAF).

Salah seorang aktivis tanah adat, Nicholas Bawin berkata pertikaian antara pemilik tanah dengan kerajaan telah berlaku sejak 30 tahun lalu lagi.

Katanya kesedaran tinggi terhadap hak ini dalam kalangan masyarakat tempatan telah banyak menyebelahi mereka. Sehingga sekarang, pemilik tanah adat telah menang 90% kes di mahkamah.

Bagaimanapun dua keputusan Mahkamah Persekutuan tidak menyebelahi mereka.

Pada Disember lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Hak Adat Orang Asal (NCR) untuk kaum Dayak hanya terpakai untuk “temuda” (ladang) dan bukan kawasan hutan, iaitu “pemakai menoa” (tanah yang dimiliki) dan “pulau galau” (rizab hutan komunal) sekitar rumah panjang mereka.

Masyarakat Dayak berkata mereka ada hak terhadap “pemakai menoa” sekitar rumah panjang mereka. Ini termasuklah hutan utama yang berada disekitarnya, yang selalunya dimiliki oleh komuniti.

Menurut mereka, mahkamah tidak mengambil kira undang tak bertulis yang menjadi adat mereka.

Dua minggu lalu, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan pemilik tanah NCR yang mana tanah mereka termasuk dalam tanah yang dipajak kerajaan, tidak membenarkan tanah itu dituntut walaupun mereka dibenarkan mengambil pampasan atas kehilangan tanah itu.

Mahkamah Persekutuan, dalam rayuan dua syarikat ladang, sebuah bank, kerajaan Sarawak dan penguasa Tanah dan Tinjauan Kota Samarahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari 2012 lalu, telah menyebelahi keempat perayu itu dengan hujah bahawa syarikat ladang itu dilindungi dibawah seksyen 132 Kanun Tanah berhubung ketidaktentuan pajakan yang telah diberikan kepada syarikat itu oleh kerajaan negeri.

Pihak defendan adalah pemilik tanah NCR Kampung Lebor di Gedong, Serian.

Penasihat undang-undang pemilik tanah See Chee How, berkata, keputusan sama seperti bermaksud memberikan kerajaan negeri tanah NCR dengan ‘kaedah baharu’.

Kerajaan Sarawak telah membentuk Jawatankuasa Pemakai Menoa dan Pulau Galau yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah bagi mengkaji keputusan Mahkamah Persekutuan itu selain memikir dan memeri cadangan bagaimana undang-undang tanah itu boleh dipinda.

Uggah bagaimanapun telah dikecam kerana terlalu lambat membuat kerja dan janjinya untuk membangkitkan isu ini di sidang dewan minggu hadapan seperti tidak kesampaian.

Keputusan kedua Mahkamah Persekutuan juga telah ditunda. – 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen