Henti rebut kuasa, fokus kesejahteraan rakyat


PEMIMPIN politik dan pembuat dasar perlu mengenepikan perebutan kuasa dan menumpukan tenaga dan fikirannya untuk mengatasi masalah dihadapi oleh rakyat.

Mewujudkan budaya politik yang sihat, bersih dan bermoral sangat diperlukan.  

Rakyat kini sedang berdepan dengan pelbagai masalah tekanan hidup seperti kos sara hidup yang tinggi, masalah perumahan terutama sekali bagi golongan berpendapatan dengan sara hidup yang tidak mencukupi; perbezaan pendapatan antara golongan kaya dan miskin yang begitu ketara serta jurang antara bandar dan luar bandar.

Isu kemiskinan pada masa kini bukan sahaja melibatkan masyarakat luar bandar seperti yang sering dipaparkan dalam media cetak dan elektronik bahkan turut dihadapi juga oleh masyarakat di bandar.

Laporan yang dikeluarkan oleh Unicef dan DM Analytics baru-baru ini mendapati hampir semua kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur berada dalam kemiskinan dan tujuh peratus adalah kemiskinan mutlak.      

Apa yang didedahkan dalam laporan itu masalahnya bukanlah sekadar pengukuran kemiskinan, tetapi mengenai institusi dalam kerajaan yang menutup mata untuk mengakuinya dan menangani isu kemiskinan kita. 

Selain isu kemiskinan, isu krisis iklim juga perlu mendapat perhatian utama daripada pihak kerajaan bagi menanganinya.

Kejadian banjir yang kerap berlaku pada masa kini juga boleh dikaitkan dengan krisis iklim.

Semakin ramai yang menderita akibat krisis iklim yang dialami oleh negara ini seperti dalam bentuk banjir kilat, banjir besar, ribut dan kemarau yang semuanya ini akan menjejaskan kehidupan rakyat.

Penduduk Pantai Timur khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang setiap tahun terpaksa berhadapan dengan banjir besar yang terpaksa dihadapi saban tahun dan keadaan ini semua menambahkan lagi kesengsaraan hidup mereka.

Adakah kita sudah bersedia untuk menangani kesan krisis iklim ini? 

Menurut seorang penyelidik, lebih daripada dua dalam tiga kota di seluruh dunia sudah pun melihat kesan krisis iklim, daripada gelombang haba yang lebih panas kepada banjir yang semakin buruk, tetapi hanya sedikit mempunyai pelan yang berkesan bagi menangani ancaman ini.   

Sehubungan itu, hentikan segera perebutan kuasa dalam kalangan ahli politik dan terus memberikan fokus kepada usaha untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. – 20 Disember, 2019.

* Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen