KETUA pendakwa raya Sepanyol pada Isnin mengatakan pejabatnya akan mendakwa pemimpin Catalonia yang kini disingkirkan susulan deklarasi kemerdekaan dilakukan Parlimen daerah itu minggu lepas atas tuduhan memberontak.
Jose Manuel Maza berkata pihak pendakwa raya sudah memfailkan permohonan di Mahkamah Nasional untuk pendakwaan itu yang termasuk tuduhan hasutan dan penyelewengan.
Mahkamah kini perlu menentukan sama ada untuk menerima atau menolak pendakwaan terhadap pemimpin daerah itu yang disingkirkan kerajaan Madrid pada Jumaat lalu.
Kesalahan memberontak di Sepanyol boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.
Pertikaian mengenai kemerdekaan Catalonia yang diterajui pemimpinnya mengheret Sepanyol ke dalam krisis politik terburuk sejak berdekad lamanya.
Presiden Catalonia yang kini disingkirkan, Carles Puigdemont berkata keputusan referendum kemerdekaan yang diharamkan pada 1 Oktober lalu memberikan mandat kepada daerah itu untuk mengisytiharkan kemerdekaan.
Mahkamah Sepanyol di Madrid mengatakan referendum itu haram dan deklarasi kemerdekaan yang dibuat mencabuli Perlembagaan negara itu.
Maza berkata pemfailan itu akan menyasarkan “pemimpin politik utama kerajaan Catalonia”.
Dakwaan itu mengatakan “keputusan dan tindakan mereka sejak dua tahun lepas menyebabkan krisis Perlembagaan yang menyebabkan pengisytiharan kemerdekaan unilateral dilakukan pada 27 Oktober dan penghinaan kepada Perlembagaan kita”. – AFP, 30 Oktober, 2017.
Komen