Orang muda dan Wawasan Kemakmuran Bersama


SEKITAR 1992, saya yang masih di bangku sekolah rendah mengingati dengan jelas tatkala saya menyertai pertandingan mewarna yang dianjur sebuah majalah kanak-kanak; Kuntum. 

Tema lukisannya adalah Wawasan 2020; memaparkan ilustrasi bangunan tinggi pencakar langit, pengangkutan rel, komputer; moden dan canggih dan tidak tertinggal adalah beberapa ilustrasi “kereta terbang” yang melintasi.

Itulah imagnasi kami hampir 30 tahun lalu, dan kini tidak beberapa hari lagi kita akan masuk ke tahun 2020. 

Wawasan 2020 yang dianjurkan oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad membolehkan kita sebagai satu negara bangsa berusaha bersama untuk mencapai maksud cita-cita wawasan itu. 

Kita kini sudah berjaya menjadi negara maju  tetapi masih banyak kekurangan yang belum kita dapat atasi. 

Cabaran juga makin bertambah dalam usaha menjadi maju, apabila masih terbit rasa tidak puas hati dan tersisih dalam arus pembangunan pesat yang dikecapi. Jurang melebar dan pembahagian adil belum dicapai. 

Pada 10 tahun mendatang, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ada tugas yang amat berat.

Bukan saja memgatasi kelemahan atau sasaran yang tak dicapai daripada Wawasan 2020, tetapi tampil dengan kebijakan baru yang akan memandu negara bangsa ini ke hadapan. Inilah yang dipanggil Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). 

“Kerajaan yakin matlamat wawasan ini akan dicapai melalui peningkatan kepelbagaian ekonomi (greater economic complexity) dengan memberi fokus kepada industri berteknologi dan berimpak tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital dan pertanian berteknologi tinggi.

Sudah tentu harapan Malaysia adalah pada anak muda. Wawasan ini akan merangsang imaginasi, kreativiti dan keterampilan generasi millennial untuk membawa Malaysia ke mercu kecemerlangan industri.”

Ucapan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali ini jelas menyebut peri pentingnya peranan anak muda dalam memacu agenda WKB 2030 bagi mewujudkan sebuah negara yang berkongsi kekayaan secara adil dan saksama kepada semua rakyat tanpa mengira darjat dan perbezaan. 

Sudah tentu, gagasan aspirasi baharu kerajaan memerlukan dokongan yang utuh daripada seluruh rakyat Malaysia.

Namun, sebagai satu kumpulan yang akan mencorakkan pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan, penglibatan anak muda bersama kerajaan amatlah dituntut dan diperlukan. 

Orang muda merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara.

Oleh itu, usaha hendaklah terus ditumpukan kepada peningkatan keupayaan dan kecekapan mereka.

Ini amat perlu memandangkan cabaran masa hadapan yang akan ditempuh oleh orang muda adalah lebih hebat dan canggih yang memerlukan satu persiapan atau persediaan diri yang hebat.

Negara kita sudah pasti akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju mundurnya proses pembangunan dan kemajuan negara.

Kesungguhan dan iltizam kerajaan dalam menaruh kepercayaan terhadap belia telah digariskan dalam Teras Strategik Ketiga Dokumen WKB 2030 yang menumpukan kepada pembangunan modal insan melalui usaha kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja muda berkemahiran pada masa hadapan.

Sebagai generasi millenial yang terkesan dengan Revolusi Perindustrian 4.0, pembentukan orang muda yang berkemahiran tinggi amat wajar dalam memastikan negara tidak ketinggalan jauh ke belakang dalam arus modenisasi dengan kecanggihan teknologi yang kompleks yang dihadapi oleh dunia kini.

Menurut Abhijit Naskar, karakter negara bangsa bukanlah datang daripada pemimpinnya, tetapi wujud daripada rakyatnya.

Berdasarkan statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, purata umur rakyat Malaysia pada 2018 adalah pada umur 28.6 tahun. 

Ini jelas menunjukkan orang muda merupakan kumpulan terbesar dan dominan dalam mencorakkan pembentukan negara pada masa hadapan. 

Jelas sekali orang muda kini yang akan menentukan hala tuju pembangunan dan corak kepimpinan negara pada masa akan datang.

Di samping ilmu pengetahuan, sikap dan kemahiran yang diperlukan, orang muda harus juga mempunyai sikap dan nilai yang positif seperti inklusif, toleransi, rela berkorban, taat setia dan cinta kepada negara.

Nilai-nilai ini boleh disemai dan diterapkan kepada orang muda melalui pendidikan di sekolah dan juga aktiviti kemasyarakatan.

Jati diri orang muda harus dibentuk agar rasa cinta pada negara itu bukan hanya pada kecintaan kosmetik, tetapi lebih penting adalah dalam apa saja pekerjaan atau bidang yang mereka ceburi kelak, segala usaha ditumpukan untuk menyumbang kepada pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang hebat dan gah. 

Inilah masanya untuk orang muda menzahirkan peranan mereka dengan menerapkan dan mengamalkan nilai negara bagi mewujudkan identiti bangsa yang kuat dan utuh dalam menghadapi cabaran globalisasi yang kian rencam dan pelbagai seiring dengan hasrat kerajaan melalui WKB 2030. 

Interaksi antara orang muda berbilang kaum adalah sangat penting dalam usaha kita melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Ke arah pencapaian matlamat ini adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengurangkan persatuan belia yang berasaskan atau beridentitikan kaum. 

Budaya kaum termasuk bahasa tidak akan hilang hanya kerana kita merapatkan hubungan antara kaum. Jika semasa muda belia diasingkan kerana kaum, maka sudah tentu perpaduan kaum bagi orang dewasa tidak akan tercapai. 

Ia akan menggagalkan usaha kerajaan mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kekayaan negara tanpa mengira kaum, agama, perbezaan ideologi, darjat dan latar belakang sejajar dengan WKB 2030. 

Seperti mana ucapan Dr Mahathir, “WKB adalah amanah pada kita hari ini dan hadiah dan milik anak cucu kita di masa hadapan.” 

Kini, orang muda perlu merebut peluang yang sudah terbuka luas untuk mereka mencorakkan pembentukan negara bangsa yang mereka mahukan di negara ini. – 20 Disember, 2019.

* Dr Afif Bahardin adalah exco pertanian & industri asas tani, pembangunan desa dan kesihatan Pulau Pinang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen