Selepas reformasi sistem, tiada lagi pilihan raya kecil Parlimen


Noor Azam Shairi

Pengundi menunggu giliran pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 16 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2019.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak perlu lagi mengadakan pilihan raya kecil Parlimen selepas ini sekiranya kerajaan menerima sistem yang akan dicadangkan oleh jawatankuasa penambaikan pilihan raya.

Pengerusi jawatankuasa Ab Rashid Ab Rahman berkata mengikut sistem baharu yang dicadangkan, kekosongan kerusi Parlimen akan diisi secara automatik oleh parti politik penyandang kerana semasa pilihan raya rakyat akan memilih parti, bukan lagi calon individu.

“Sistem ini bagaimanapun hanya untuk kerusi Parlimen. 

“Bagi dewan undangan negeri, kita cadang supaya dikekalkan sistem pemenang undi terbanyak,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, semalam.

Jelas Rashid, sistem pergantian langsung ini dibolehkan kerana jawatankuasa itu bercadang memperkenalkan sistem pilihan raya perwakilan berkadar, bagi kerusi Parlimen.

Ia ganti kepada sistem undian pemenang undi terbanyak yang diamalkan sejak Merdeka.

Di bawah sistem sedia ada, kerusi Parlimen dimenangi oleh calon yang menang pilihan raya walaupun dengan satu undi. Sistem ini dikritik antara lain kerana jumlah kerusi perwakilan tidak mencerminkan suara popular rakyat, sehinggakan pengundi yang memilih calon yang kalah seperti tidak diwakili.

“Kita kekalkan sistem itu di kerusi negeri kerana wakil rakyat perlu dikenali sebelum rakyat buat pilihan kerana mereka itu terlibat dengan sistem penyampaian kerajaan,” kata Rashid.

Jelas beliau, di bawah sistem baharu, pada kertas undi kerusi Parlimen nanti hanya ada logo parti yang bertanding sementara pada kertas undi kerusi dewan undangan negeri (DUN) kekal memaparkan nama calon dan logo parti.

“Ini yang saya akan tawarkan kepada kerajaan,” tambah beliau. 

Ab Rashid Ab Rahman berkata mengikut sistem baharu yang dicadangkan, kekosongan kerusi Parlimen akan diisi secara automatik oleh parti politik penyandang kerana semasa pilihan raya rakyat akan memilih parti, bukan lagi calon individu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Disember, 2019.

Cadangan ini adalah antara 15 cadangan yang sedang diteliti oleh jawatankuasa khas yang diberi mandat dua tahun oleh Putrajaya untuk mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya Malaysia.

Sistem perwakilan berkadar pada masa ini dilaksanakan antaranya di Turki, Switzerland, Sweden, Norway, New Zealand, Indonesia, dan Australia.

Di bawah sistem itu, parti politik bertanding akan menyediakan senarai calon bagi Parlimen. Pengagihan kerusi di Parlimen bagaimanapun akan bergantung pada peratusan undi yang diperolehi parti dalam pilihan raya.

Beliau memberikan contoh, parti yang menang 30% undi misalnya akan mendapat 30% kerusi.

“Parti kecil pun akan dapat kerusi kalau mereka capai peratusan undi tertentu,” kata Rashid.

Bagaimanapun beliau cepat menjelaskan pengagihan kerusi mengikut peratusan undi tidak akan mencampurkan kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak dengan kerusi di Semenanjung Malaysia.

“Kalau dicampur aduk (dengan undian di Semenanjung Malaysia) tidak adil bagi  Sabah dan Sarawak kerana parti politiknya adalah parti tempatan.

“Bagi Sabah dan Sarawak, kita akan kira ikut kerusi Parlimen yang ada masing-masing di Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Semua undi ada nilai”

Selain menjimatkan kos pengurusan pilihan raya – kerana tiada lagi pilihan raya kecil sekiranya ada kekosongan kerusi di Parlimen, Rashid menjelaskan di bawah sistem baharu nanti setiap undi rakyat jadi sangat bermakna.

“Tidak ada undi yang rugi. Semua undi ada nilai. Setiap undi boleh menentukan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti di Parlimen,” katanya.

Rashid tidak menolak kemungkinan sistem perwakilan berkadar yang mensyaratkan senarai calon parti mungkin akan merancakkan lagi politiking dalaman parti.

Namun beliau melihat sisi positifnya juga, iaitu ruang untuk parti politik menunjukkan kepimpinan yang ada pada mereka.

“Ia menyerlahkan kualiti kepimpinan yang ada dalam parti. 

“Mereka yang boleh jadi pemimpin dan bertanggungjawab misalnya, namanya akan duduk di atas. Mereka yang loyar buruk, namanya duduk di bawah.

“Tetapi yang loyar buruk pun akan terpilih juga kalau parti menang besar,” katanya.

Di bawah sistem baharu nanti setiap undi rakyat jadi sangat bermakna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2019.

Perwakilan wanita, minoriti

Jawatankuasa juga mencadangkan sekurang-kurangnya ada 30% wakil wanita di Parlimen, serta perwakilan khas daripada masyarakat Orang Asli, tambah Rashid.

“Ini pun permintaan daripada pelbagai pihak dan badan wanita dalam sesi libat urus, bukan kita pandai-pandai saja. Kita dengar dan kita timbang,” katanya, merujuk pada rundingan jawatankuasa dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak lebih setahun lalu.

“Saya rasa ini adil,” tambahnya.

Sejak ditubuhkan pada Ogos 2018, jawatankuasa ini sudah mengadakan 18 sesi libat urus di seluruh Malaysia bersama parti politik dan agensi kerajaan, badan masyarakat, pengamal media, dan ahli akademik.

Ditanya mengenai laporan interim jawatankuasa, Rashid berkata ia sedang hampir siap dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum akhir bulan ini.

“Saya menunggu hari untuk bertemu dengan perdana menteri,” katanya. – 20 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen