SEBUAH badan masyarakat berusaha mengumpul makanan lebihan daripada acara kenduri dan jamuan perayaan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Pengasas Malaysia Agathiyar Universal Mission Organisation (AUM), R Sri Krsna menyebut, pasukan sukarelanya bermula dengan mengagih makanan kepada masyarakat tak berumah di jalanan.
“Bagaimanapun, pada suatu hari saya menyedari masyarakat jalanan ini menerima bekalan makanan yang banyak daripada pelbagai pihak yang prihatin malah berlaku pembaziran makanan di situ.
“Disebabkan itu, kami mula beralih kepada keluarga miskin di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) yang kadang kala tidak mampu menyediakan satu set makanan sekali sehari pun,” katanya.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, ada dalam kalangan keluarga di perumahan PPR ini hanya makan nasi sekali seminggu atau sebulan.
Beliau juga pernah menyaksikan keluarga yang masuk tidur seawal jam 7 malam untuk mengelakkan anak lapar pada waktu malam.
“Melihat kehidupan mereka yang cukup memerlukan ini, kami mula memberikan mereka makanan dua minggu sekali.
“Namun setiap kali kami menghantar makanan kepada mereka, soalan pertama yang akan ditanya adalah sama ada kami akan menghantar lagi makanan keesokan harinya,” katanya.

Dari situlah timbul idea untuk mendapatkan bahan daripada makanan yang terbazir di acara jamuan, parti, kenduri dan acara keagamaan, katanya lagi.
Satu kajian dijalankan mendapati masih ada isi rumah di Lembah Klang yang tidak mampu menyediakan satu set makanan asas untuk sekeluarga dalam tempoh 24 jam.
Pada masa yang sama kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pula mendapati 15,000 tan makanan dibazirkan sehari oleh rakyat negara ini.
Bahan makanan itu pula didapati paling banyak terbuang di musim perayaan.
Pembaziran makanan yang serius itu pernah disaksikannya sendiri bersama isteri, J Sri Deviy yang turut mengendalikan NGO tersebut bersama 10 lagi sukarelawan.
Sebaik mempromosi kempen itu pada Julai, dalam tempoh 24 jam sahaja mereka menerima panggilan daripada lebih 100 individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan dan menderma makanan.

Kini, sudah ramai penganjur menghubungi NGO itu untuk memaklumkan mengenai pembaziran makanan di acara masing-masing, katanya.
“Dari situ kami akan menggerakkan ahli sukarelawan ke lokasi majlis dan membungkus makanan berkenaan sebelum dihantar kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.
Jelasnya, NGO tersebut akan memastikan makanan tersebut masih baik dan sesuai dimakan sebelum dibungkus dan diedarkan.
“Biasanya makanan akan sampai kepada keluarga yang memerlukan ini dalam tempoh satu jam setengah dari detik kami menerima panggilan,” katanya.
Bagi mengelak makanan tersebut rosak, beliau akan meminta penganjur majlis untuk menghubunginya lebih awal iaitu sebelum jam 9 malam.
Penganjur majlis atau tuan rumah pula perlu memaklumkan niat untuk menderma makanan daripada majlis mereka lebih awal, sekurang-kurangnya 48 jam sebelum majlis bermula.
Katanya, NGO itu kini memfokuskan kepada pengumpulan makanan dari sekitar Lembah Klang sehingga ke Seremban dan pengedaran makanan juga dalam jajaran kawasan yang sama.
“Sekarang, kami mampu mengedar makanan dari 50 hingga 1000 bungkus sehari daripada derma.
“Proses mengagih akan menjadi lebih cepat sekiranya lebihan makanan siap dibungkus namun kami sentiasa menyediakan plastik pembungkus di dalam kereta,” katanya.
Meskipun kini sibuk menguruskan inisiatif lebihan makanan, NGO itu masih mampu memasak dan mengedar makanan kepada golongan tidak berumah setiap Sabtu.
Katanya, selain pengagihan makanan, NGO itu turut menyediakan barangan keperluan harian dan sayuran sebulan sekali kepada 38 keluarga di sekitar Lembah Klang.
Penganjur acara dan penderma makanan yang berminat boleh menghubungi AUM di talian 012-3970431. – 22 Disember, 2019.
Komen