Manifesto Sukan Olimpik dilelong AS$8.8 juta


Manifesto asal Sukan Olimpik yang dipamerkan di Sotheby, Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada 22 Oktober lalu. – Gambar EPA, 19 Disember, 2019.

SATU rekod lelongan dunia baru untuk item sukan memorabilia akan dibuat pada Rabu apabila manifesto asal Sukan Olimpik dijual dengan harga AS$8.8 juta di Sotheby, kata syarikat lelong.

Manuskrip setebal 14 muka surat itu ditulis pada 1892 oleh Pierre de Coubertin, seorang bangsawan Perancis dan peminat atletik yang dikenali sebagai “bapa” Olimpik moden.

Ia mencecah hampir sembilan kali anggaran pra-jualan sebanyak AS$1 juta selepas 12 minit bidaan sengit semasa lelongan di New York, kata Sotheby dalam satu kenyataan.

“Keputusan rekod hari ini adalah sebagai bukti visa Pierre de Coubertin lebih satu abad yang lalu, dan penghormatan terhadap sukan Olimpik yang masih diadakan,” kata pelelong Selby Kiffer.

Coubertin menggariskan visinya untuk memulihkan Sukan Olimpik lama sebagai pertandingan antarabangsa yang baru dalam manifesto itu.

Beliau berpendapat usaha olahraga mempunyai manfaat kepada individu dan masyarakat.

Manuskrip itu adalah satu-satunya salinan ucapan yang disampaikan oleh Coubertin di Paris pada 1892.

Coubertin mengasaskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dua tahun kemudian dan pertandingan sukan moden pertama berlangsung pada 1896 di Athens.

Rekod lelong dunia sebelum ini bagi item memorabilia sukan ialah AS$5.6 juta pada Jun bagi jersi dipakai oleh legenda besbol Babe Ruth, kata Sotheby. – AFP, 19 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen