Ketidakstabilan negara Arab boleh tingkatkan keganasan


Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memberi amaran bahawa ketidakstabilan di negara-negara sekitar Arab Saudi akan hanya menjadi saluran bagi kumpulan pengganas untuk berkembang. – Gambar EPA, 30 Oktober, 2017.

MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein memberi amaran bahawa ketidakstabilan di negara-negara sekitar Arab Saudi akan hanya menjadi saluran bagi kumpulan pengganas untuk berkembang.

Sehubungan itu, beliau berkata langkah-langkah perlu terus dilaksanakan bagi mengatasi sebarang usaha oleh mana-mana negara, kumpulan atau ideologi yang mungkin menjejaskan Orde Dunia Islam itu, khususnya di Timur Tengah.

“Malah, ancaman yang kita hadapi di Asia Tenggara sangat berkait rapat dengan perkembangan di bahagian dunia ini, seperti yang berlaku di Bandar Marawi di Filipina.

“Sesungguhnya menangani  penularan ekstremisme dari rantau ini penting dalam memastikan bukan sahaja keamanan dan kestabilan di rantau ini tetapi juga di peringkat global,” katanya ketika berucap mengenai langkah intervensi semasa mesyuarat menteri-menteri luar dan pegawai pertahanan daripada pasukan gabungan dipimpin Arab Saudi bagi menyokong legitimasi di Yaman.

Teks ucapannya diperoleh Bernama.

Hishammuddin yang juga menteri tugas-tugas khas, berkata Malaysia percaya Arab Saudi boleh memberi harapan kepada negara-negara bergolak dalam mencegah konflik, penyelesaian  pertikaian secara aman dan mewujudkan keamanan yang mampan.

“Bersama-sama dengan Arab Saudi, kita harus secara konstruktif dan inovatif, berusaha membawa  pihak yang bertelagah  bersama-sama untuk menyelesaikan perbezaan mereka. Sebagai saudara, kita mesti membetulkan pelanggaran terhadap keamanan dan mengurangkan penderitaan masyarakat,” katanya.

Hishammuddin juga menyentuh kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa pada mulanya, pasukan tentera Malaysia berpangkalan di Riyadh untuk memberikan bantuan yang diperlukan dan memudahkan dalam memindahkan  rakyat Malaysia di Yaman.

“Namun, berikutan keadaan terkini, saya mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia supaya kekal di negara berkenaan, sentiasa bersedia memberikan bantuan kemanusiaan dan kemungkinan menyumbang kepada pembangunan semula di Yaman jika diperlukan,” katanya.

Dilaporkan Arab Saudi mengkritik Iran kerana menyokong pemberontak yang sedang berperang dengan pasukan gabungan yang dipimpin Arab Saudi di Yaman. – Bernama, 30 Oktober, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen