Setahun Adib tiada, bapa gesa keadilan ditangani segera


Zaim Ibrahim

Kubur Muhammad Adib Mohd Kassim di kampung kelahirannya, Kampung Tebengau di Kuala Kedah, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Disember, 2019.

SETAHUN selepas kematiannya, keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim masih menunggu keadilan datang setelah mahkamah koroner memutuskan beliau cedera dan kemudian meninggal dunia akibat perbuatan jenayah.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember setahun yang lalu, selepas 21 hari terlantar di hospital akibat cedera dalam insiden semasa rusuhan di sebuah kuil Hindu dekat Subang Jaya pada akhir November 2018.

Koroner Rofiah Mohamad pada 27 September lalu mengumumkan hasil inkues mendapati Adib cedera akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali semasa rusuhan itu.

Lebih 80 hari selepas keputusan inkues itu, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid masih menunggu polis mengesan pembunuh anak lelakinya.

“Perjalanan inkues Alhamdulillah, apa yang kita mahukan tercapai. Selepas inkues, kita hanya tunggu tindakan polis. 

“Cumanya apa yang keluarga kami harapkan, polis bersungguh-sungguh mencari penjenayah dan pelaku Adib (hingga menyebabkan beliau meninggal dunia),” katanya kepada The Malaysian Insight semalam.

Kassim, 64, ditemui di Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau di Kuala Kedah, Kedah – tempat persemadian akhir Adib di kampung kelahirannya, setahun yang lalu.

Sepanjang perbualan dengan The Malaysian Insight di pintu masjid, kira-kira 20 meter jaraknya dari kubur Adib, Kassim berterus terang mengelak bercakap mengenai hal tertentu tentang anak ketiganya yang telah pergi.

“Apabila diungkit balik kenangan lama, bagi kami yang menanggung, rasa berat dan sedih untuk cakap,” katanya, yang sepanjang wawancara sesekali menahan air mata.

“Saya masih rasa kehilangannya, tak tahu sampai bila,” tambahnya.

Namun Kassim tegas apabila bercakap mengenai keadilan, yang baginya bukan saja untuk Adib dan keluarga, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Saya yakin keadilan dapat ditegakkan, kita bukan nak (keadilan untuk) Muhammad Adib sahaja tetapi (untuk) seluruh rakyat Malaysia.

“Seluruh rakyat Malaysia tahu Adib meninggal dunia akibat rusuhan,” jelasnya.

Kassim mengaku beliau tidak tahu-menahu perkembangan kes kematian anaknya, hampir tiga bulan selepas keputusan mahkamah koroner. 

Katanya juga tiada mana-mana pihak yang memaklumkan apa-apa kepadanya.

“Setakat ini, saya belum tahu apa-apa lagi. Sekarang polis sudah buat siasatan. Kita tunggu dan tengok. 

“Kita minta polis sungguh-sungguh untuk cari pesalah,” katanya.

Polis minggu ini mengesan sembilan lagi saksi bagi membantu siasatan kematian Adib.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman Huzir Mohamed berkata mereka yang diminta tampil bukannya suspek tetapi hanya untuk membantu siasatan.

“Mereka dipercayai berada di sekitar kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya dalam sidang media awal minggu ini.

Koroner Rofiah Mohamad (tengah) ketika melawat lokasi kejadian rusuhan di Subang Jaya, Februari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2019.

Sehingga kini polis, sudah merakam 31 keterangan termasuk daripada saksi polis, pakar kimia dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Polis juga akan meminta pandangan Majlis Perubatan Malaysia berhubung laporan bedah siasat Adib yang menimbulkan tafsiran berbeza semasa dalam inkues.

Adib, 24, anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden malam kedua rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 28 November 2018.

Beliau yang kritikal sempat sedar semula sepanjang tempoh tiga minggu dirawat di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, lima hari sebelum dijadual melangsungkan perkahwinan.

“Arwah pergi dalam keadaan yang sangat baik”

Sementara itu, Muhd Hakim Mohd Helmi, 17, antara sepupu yang rapat dengan Adib, menyifatkan beliau kehilangan seorang abang.

Walaupun usia mereka agak jauh, mereka sering meluangkan masa bersama. Sehingga hari ini, Hakim tidak akan lupa percutiannya ke Pulau Langkawi bersama sepupunya itu serta kenangan mandi manda di air terjun di sana.

Menurut Helmi, Adib seorang yang rapat dengan sanak saudara, selain anak yang patuh kepada kedua ibu bapanya.

“Kalau hari ini, saya lepak dengan kawan-kawan dan juga saudara-saudara lain, rasa tidak lengkap, sebab sebelum ini Adib mesti ada,” katanya.

Sehingga hari ini, Hakim juga masih ingat dan terbayang malam Adib meninggal dunia.

“Kami sekeluarga hampir 50 orang membacakan surah Yasin supaya beliau cepat sembuh.

“Ketika sedang baca Yasin, salah seorang daripada kami beritahu Adib sudah meninggal dunia. Kami sambung baca Yasin tetapi dalam keadaan menangis dan terus sambung membacakan tahlil,” katanya.

Keesokan harinya, setahun yang lalu, Kampung Tebengau yang biasanya sunyi, didatangi ramai orang yang mengiringi perjalanan akhir Adib ke tempat persemadiannya.

“Ramai orang datang ke kampung untuk sertai solat jenazah,” katanya, mengimbau hari duka itu.

“Waktu kali pertama lihat wajah arwah, mukanya bersinar dan bercahaya tidak seperti biasa.” – 19 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen