PIHAK berkuasa melaksanakan undang-undang darurat mengharamkan perjumpaan besar-besaran di sebahagian ibu kota India, New Delhi selepas 12 anggota polis cedera dalam protes membantah akta kerakyatan kontroversi.
Ketegangan tercetus di seluruh India selepas ia meluluskan akta pemberian kerakyatan kepada orang bukan Islam dari tiga negara jirannya, setakat ini sudah enam orang terbunuh.
Sehari selepas protes ganas melanda Delhi, polis mengharamkan perjumpaan lebih empat orang di sesetengah kawasan majoriti Islam di utara ibu kota itu.
Polis melepaskan gas pemedih mata selepas ribuan penunjuk perasaan melontar batu dan membakar sekurang-kurangnya dua buah bas dan sebuah pondok kawalan polis di daerah Seelampur di Delhi.
Sekurang-kurangnya 21 orang termasuk 12 anggota polis cedera dalam pertempuran itu.
Enam orang awam ditahan kerana merusuh dan membakar dengan sengaja, kata polis hari ini.
Enam orang lagi ditahan di West Bengal kerana melontar bom kepada polis di bandar Howrah semalam yang mencederakan tujuh anggotanya.
Pesuruhjaya Polis Howrah Gaurav Sharma memberitahu AFP yang pegawainya diserang apabila mereka mahu menahan penunjuk perasaan yang merosakkan stesen kereta api.
Perdana Menteri Narendra Modi terus bertegas mengekalkan undang-undang itu walaupun protes merebak ke seluruh negara, berkata ia tidak menjejaskan warga India tetapi untuk melindungi orang Hindu, Sikh dan minoriti lain dari negara jirannya yang majoriti Islam.
Pembantah berkata akta tersebut adalah agenda nasionalis Hindu Modi untuk terus meminggirkan 200 juta penganut Islam di India.
Lebih banyak protes dijangka berlaku hari ini di Tamil Nadu, Kerala, Andhra Pradesh dan Gujarat.
Pihak berkuasa menyekat akses internet dan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan protes, tetapi penunjuk perasaan berikrar akan terus melawan sehingga akta kontroversi itu dibatalkan. – AFP, 18 Disember, 2019.
Komen