EU digesa tekan Israel benar pilihan raya Palestin di Baitulmaqdis Timur


Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata Pihak Berkuasa Palestin telah menggesa Kesatuan Eropah untuk terus menekan Israel supaya membenarkan pilihan raya Palestin diadakan di Baitulmaqdis Timur. – Gambar EPA, 18 Disember, 2019.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa berkata Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk terus menekan Israel supaya membenarkan pilihan raya Palestin diadakan di Baitulmaqdis Timur, kawasan yang menjadi pertikaian, lapor agensi berita Xinhua.

Bercakap pada pembukaan mesyuarat jawatankuasa pusat parti Fatah, parti yang memerintah bandar Ramallah, Tebing Barat, Abbas mengatakan tidak akan ada pilihan raya umum jika rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur dikecualikan.

Katanya, PA juga telah menghubungi banyak negara termasuk EU supaya menekan Israel untuk membenarkan pilihan raya Palestin diadakan di bandar yang diduduki.

“Kami sedang menunggu jawapan kerajaan Israel dan kami telah menghubungi beberapa rakan terutama EU untuk menekan Israel supaya pilihan raya  diadakan seperti mana pada 1996, 2005 dan 2006,” kata Abbas.

Palestin berharap untuk menubuhkan negara yang merdeka pada 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, tetapi Israel mendakwa seluruh bandar Baitulmaqdis adalah miliknya. 

Minggu lalu Menteri Hal Ehwal Awam Palestin Hussein Al-Sheikh berkata pihaknya telah menghantar permintaan rasmi kepada Israel berhubung perkara itu. 

Kali terakhir pilihan raya parlimen diadakan di wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis Timur pada Januari 2006, ketika itu Hamas menang dengan majoriti besar. – Bernama, 18 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen