NAJIB Razak mahu membuat sumpah laknat menafikan dakwaan Azilah Hadri bahawa beliau mengarahkan bekas anggota komando polis itu membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu 13 tahun lalu.
Sumpah laknat itu akan dibuatnya di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur pada Jumaat ini.
“Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.
“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas solat Jumaat minggu ini,” kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook.
Sumpah laknat adalah doa kepada Allah memohon dijatuhkan laknat kepada orang yang berbohong, sebagai pengakuan atau penafian terhadap sesuatu perkara.
Pada Ogos 2008, Najib pernah bersumpah secara Islam di Masjid Jamek Guar Perahu di Permatang Pauh, Pulau Pinang bahawa beliau tidak kenal dan tiada kaitan dengan Altantuya.
“Dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak kenal dan tidak ada kaitan dengan perempuan Mongolia itu,” kata Najib ketika melafazkan sumpah itu, 11 tahun lalu.
Dalam satu wawancara yang disiarkan di TV3 tujuh tahun kemudian, Najib mengulangi penafian sama.
Azilah dalam satu akuan berkanun yang didedahkan minggu ini mendakwa bekas perdana menteri memberi arahan kepadanya pada Oktober 2006 supaya membunuh Altantuya, yang digambarkan sebagai perisik asing berbahaya.
Azilah yang kini menunggu pelaksanaan hukuman mati di Penjara Kajang membuat akuan bersumpah itu dalam permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya, dan meminta kes dibicara semula.
Dalam menyokong permohonannya beliau mendakwa Najib, ketika itu timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, dan pegawainya ketika itu Abdul Razak Baginda mengarahkan beliau membunuh Altantuya.
Azilah dan rakannya juga seorang bekas anggota polis Sirul Azhar Umar didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi hari berikutnya pada 2006.
Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mengekalkan sabitan kes bunuh dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Azilah dan Sirul.
Razak, yang juga didakwa bersama Azilah dan Sirul, sebelum itu dibebaskan tanpa dipanggil membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membukti kes prima facie terhadapnya. Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan itu.
Sirul, 47, melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya dan Azilah pada Ogos 2013, sebelum keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Beliau kini ditahan di sebuah pusat tahanan di negara itu sejak 2014. – 18 Disember, 2019.
Komen