POLIS Pahang menasihatkan orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya berkongsi atau menularkan gambar lama atau kenyataan tidak benar berhubung banjir di negeri ini.
Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata, penyebaran maklumat tidak tepat seperti itu boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan orang awam, khususnya kepada penduduk yang menetap berhampiran lokasi kejadian yang diviralkan.
“Jika menerima maklumat seperti empangan pecah, sungai melimpah teruk atau jalan runtuh, kami mohon mereka merujuk kepada polis terlebih dahulu, bukan terus diviralkan di laman sosial termasuk menerusi kumpulan WhatsApp.
“Kami boleh sahkan jika maklumat itu benar dan di Pahang setakat ini, tidak berlaku empangan pecah. Semuanya masih baik serta dalam pengawasan pihak berkuasa dan pakar yang sentiasa bersiap siaga terutamanya semasa musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Penyerahan 16 Kenderaan Toyota Hilux Double Cab 2.4 serta Mitsubishi Outlander 2.4 kepada IPK Pahang di Kuantan, hari ini.
Abd Jalil juga memaklumkan cuti lebih 8,000 pegawai dan anggota polis di Pahang sudah dibekukan sehingga Mac depan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh dan orang ramai dinasihatkan untuk mendengar arahan pihak berkuasa sepanjang musim tersebut.
“Jika diarahkan berpindah, tolong berbuat secepat mungkin dan hanya bawa dokumen dan barangan berharga sahaja. Jangan bawa terlalu banyak barang kerana polis akan meningkatkan rondaan termasuk di kawasan dinaiki air sebagai langkah pencegahan jenayah,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan Op Blue Devil di IPK Pahang, Abd Jalil berkata untuk tahun ini, seramai 12 anggota didapati positif ujian saringan air kencing dan kini tidak lagi bertugas di bahagian yang melibatkan orang awam.
Berhubung penyerahan kenderaan pacuan empat roda itu, Abd Jalil berkata ia agihkan kepada jabatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dan dapat membantu penugasan khususnya pada musim banjir, pedalaman atau di kawasan tanah tinggi.
“Kenderaan ini hendaklah dijaga dengan baik dan tanggungjawab diberikan sepenuhnya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Trafik Daerah dan Ketua Polis Balai supaya ia tidak disalah guna untuk urusan kepentingan peribadi,” katanya.
Pada majlis itu, Abd Jalil juga menyampaikan surat penghargaan kepada 75 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta penjawat awam. – Bernama, 18 Disember, 2019.
Komen