‘Pihak berkepentingan’ kes Altantuya patut bermesyuarat, kata Kit Siang


Veteran DAP Lim Kit Siang berkata peguam semua pihak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu patut mengadakan pertemuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2019.

PEGUAM mewakili pelbagai pihak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu patut mengadakan pertemuan bagi mencari cara terbaik untuk kes itu disiasat semula, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengulas kenyataan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang berkata anak guamnya, bekas perdana menteri Najib Razak mahu kes itu disiasat semula.

“Jika Najib mahu kes itu disiasat semula, satu pertemuan peguam pihak berkepentingan yang mewakili Najib, Altantuya, PI Bala, ahli perniagaan Deepak dan peguam negara boleh diadakan untuk mempertimbangkan cara terbaik siasatan semula boleh dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes pembunuhan Altantuya mendapat perhatian sekali lagi selepas bekas polis komando Azilah Hadri membuat pengakuan menggemparkan dalam akuan berkanun mendakwa Najib adalah dalang dalam pembunuhan penterjemah dan model dari Mongolia itu pada 2006.

Najib ketika itu timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Pembunuhan berlaku antara malam 19 Oktober dan awal pagi 20 Oktober, 2006.

Azilah dan rakan sekerjanya Sirul Azhar Umar dituduh membunuh dan disabitkan bersalah. Kedua-duanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Pegawai khas Najib ketika itu, Abdul Razak Baginda yang didakwa bersubahat dalam kes itu kemudian dibebaskan.

Sirul pada masa ini ditahan di pusat imigresen di Australia selepas berjaya melarikan diri dari negara ini pada 2015.

Azilah kini sedang menunggu hukuman dilaksanakan di penjara Kajang. – 18 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen