Golongan kelas pekerja bimbang berdepan 2020


Sheridan Mahavera Nabihah Hamid Zaim Ibrahim Desmond Davidson

Golongan berpendapatan rendah melihat 2020 dengan rasa takut kerana harga barangan keperluan dijangka naik lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2019.

KETIKA 2019 hampir menutup tirainya, golongan berpendapatan rendah yang sudah pun terbeban dengan harga makanan yang tinggi, melihat 2020 dengan rasa takut, menurut kaji selidik The Malaysian Insight.

Kebimbangan mereka ialah harga barangan harian akan naik lagi sebaik saja harga petrol RON95 diapungkan apabila kerajaan memperkenalkan program subsidi petrol (PSP).

Berbanding memberikan lebih bantuan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), majoriti daripada 10 keluarga berpendapatan rendah yang ditemu bual The Malaysian Insight sebaliknya mahu kerajaan mengawal harga barang dan petrol.

Mereka yang ditemu bual adalah termasuk pengendali gerai makan Ramli Dahlan dari Kampung Ke tengah di Subang yang berkata dengan harga siling RON95 sekali pun, harga sudah sedia mahal.

“Saya tidak begitu terasa daripada harga petrol sekarang tetapi bila harganya diapungkan nanti sudah tentu saya terkesan. Pada masa ini pun harga makanan sudah tinggi kerana banyak yang diimport,” kata penerima BSH berusia 54 tahun itu.

Masalah dengan bantuan seperti BSH dan subsidi bersasaran di bawah PSP ialah ada ramai orang miskin yang tidak tersenarai dalam sistem dan tidak menerima bantuan yang diperlukan, kata Ramli.

Ramli tahu orang di kampungnya yang melakukan kerja-kerja rencam dan tidak ada dokumen lengkap untuk mengisytiharkan pendapatan mereka bagi melayakkan menerima BSH.

Harga barangan harian dijangka naik lagi sebaik saja harga petrol RON 95 diapungkan apabila kerajaan memperkenalkan program subsidi petrol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2019.

Dalam kaji selidik The Malaysian Insight, beberapa keluarga lain turut memberitahu rakan-rakan mereka yang miskin tetapi ada yang tidak menerima bantuan kerana masalah birokrasi.

“Matlamat program itu bagus tetapi pelaksanaannya tidak menyeluruh, maka matlamatnya itu tidak tercapai,” kata Ramli, merujuk kepada masalah dengan program bantuan kerajaan pada masa ini.

Jadi, daripada memberikan lebih banyak bantuan, mereka berasakan lebih baik jika kerajaan memastikan kenaikan RON95 tidak akan menyebabkan harga makanan, barangan rumah dan pakaian turut mencanak naik.

Sentimen ini senada dengan satu lagi kaji selidik oleh The Malaysian Insight yang mendapati golongan berpendapatan rendah tidak mahu PSP dilaksanakan dan lebih suka jika kerajaan meneruskan penetapan harga siling RON95.

“Saya dapat BSH tetapi saya fikir dapat lagi bantuan itu tidak akan menyelesaikan masalah saya,” kata pemandu teksi yang bekerja sebagai tukang masak separuh masa, Bala Segaran, 62, dari Puchong.

“Lebih baik kerajaan turunkan harga makanan kerana ia sungguh mahal pada masa ini dan mengurangkan kos perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti dialisis.”

Rumah pangsa di mana Bala dan isterinya dan dua anak mereka yang sudah dewasa tinggal didiami ramai warga emas sepertinya yang menderita penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit lain.

“Sesi dialisis kosnya RM400 sebulan di pusat kesihatan swasta dan ada ramai yang tidak mampu untuk pergi mendapatkan rawatan. Kerajaan perlu bantu kurangkan kos itu.” – 18 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen