Umno Selangor tidak jadi jual bangunan


SM Amin

Umno Selangor tidak jadi menjual bangunannya selepas perbincangan ketua bahagian dan dinasihati oleh bekas ketua pergerakan itu, Noh Omar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2019.

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos membatalkan hasrat untuk memasukkan kaveat semalam bagi menyekat bangunan Umno Selangor daripada dijual.

Katanya, keputusan beliau itu kerana pengurusan Umno Selangor sudah pun membatalkan niat untuk menjual bangunan tersebut selepas menerima desakan pelbagai pihak dalam parti.

“Perhubungan Umno Negeri Selangor sudah memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat menjual bangunan tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, Umno Selangor tidak jadi berbuat demikian selepas beliau berbincang dengan para ketua bahagian lain dan mendapat nasihat daripada bekas ketua pergerakan itu, Noh Omar.

Jamal juga berkata, Noh mencadangkan supaya satu mesyuarat khusus berkaitan dengan isu tersebut diadakan dengan segera bagi menyelesaikan isu-isu lain yang berbangkit.

“Noh mencadangkan dan mendesak pihak pengurusan untuk memanggil semua ketua bahagian dan perkara ini perlu di bawa di dalam mesyuarat pengurusan.

“Saya berharap pihak pengurusan dapat segera memanggil mesyuarat perhubungan negeri Selangor,” ujarnya.

Tambahnya, jualan untuk mengatasi kekangan kewangan Umno Selangor itu dibatalkan demi kebaikan dan perpaduan parti.

Jamal merupakan antara tiga ketua bahagian yang enggan menandatangani persetujuan untuk penjualan aset tersebut kerana melihatnya sebagai lambang kekuatan parti yang tidak boleh digadai.

Dua lagi adalah ketua Umno Puchong Mohamed Satim Diman serta Johan Abd Aziz, ketua Umno Hulu Langat.

Umno Selangor berhadapan dengan kekangan kewangan apabila akaun miliknya dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan dana dari 1MDB.

Jamal pernah mencadangkan Umno Selangor mencairkan aset-aset milik parti yang lain terlebih dahulu yang bukan menjadi mercu tanda parti itu di Selangor.

The Malaysian Insight juga pernah melaporkan terdapat dua pihak iaitu sebuah bank dan hotel menyatakan minat untuk menyewa keseluruhan bangunan tersebut.

Sekiranya bangunan itu disewa atau dijual, Umno Selangor ketika itu dilaporkan sedia berpindah ke satu lagi bangunan miliknya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. – 18 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen