BEKAS peguam Azilah Hadri tertanya-tanya dengan tindakan komando polis itu membuat akuan bersumpah mendakwa Najib Razak mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Hazman Ahmad juga berpendapat tuduhan berkenaan sukar dibuktikan di mahkamah dan tidak menolak kemungkinan ia melibatkan unsur politik.
Namun Azilah juga tetap berpeluang bebas daripada tuduhan, bergantung kepada kebenaran dalam akuan bersumpah tersebut, kata Hazman yang mewakili Azilah sejak perbicaraan bermula pada 2007.
“Bukan mudah untuk buktikannya mengikut undang-undang. Sudah 13 tahun… Kenapa sekarang (baru dibangkitkan)
“Itu adalah pandangan saya. Tuduhan itu adalah berat dan ia semestinya didrafkan oleh orang lain.
“Namun, apa sahaja boleh berlaku, mungkin sebab politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ditanya sama ada bekas anak guamnya itu pernah menceritakan intipati yang terkandung dalam akuan berkanun tersebut, Hazman enggan mengulas lanjut.
Hazman juga berkata, beliau sudah lama tidak berjumpa dengan bekas anak guamnya itu yang kini menunggu pelaksanaan hukuman mati mandatori.
Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 menolak pembebasan Azilah dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar Umar berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.
Sirul yang melarikan diri ke Australia selepas sabitan kes tersebut kini berada dalam tahanan di negara itu.
Sirul ketika cuba mendapatkan suaka dari Australia membuat pengakuan bahawa beliau diarahkan oleh kerajaan untuk membunuh Altantuya kerana wanita itu didakwa seorang perisik Rusia.
Sirul juga mendakwa Najib tidak terlibat dengan kes tersebut dan berikrar untuk mendedahkan segala-galanya berkaitan kes itu jika diberikan pengampunan.
Seorang peguam yang baru dilantik Azilah, J Kuldeep Kumar pada minggu lalu memohon perbicaraan semula di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi mengetepikan keputusan tahun 2015.
Permohonan Azilah disertakan dengan akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober bahawa bekas perdana menteri Najib mengarahkan pembunuhan Altantuya pada 2006.
Dalam akuan bersumpah dari dalam tahanan di Penjara Kajang itu, Azilah mendakwa Najib mengarahkan Altantuya atas alasan wanita itu adalah “perisik asing berbahaya”.
Azilah yang bertugas sebagai pengawal peribadi Najib juga mendakwa diarahkan oleh pegawai atasannya, DSP Musa Safri supaya berjumpa ahli Parlimen Pekan itu.
Musa yang merupakan aide de camp Najib waktu itu merupakan salah seorang saksi utama kes berkenaan namun tidak dipanggil untuk memberi keterangan sewaktu perbicaraan.
Dalam akuan bersumpahnya, Azilah juga berkata arahan sama diberikan oleh seorang penasihat Najib, Abdul Razak Baginda, yang mengesahkan arahan itu datang dari Najib.
Razak Baginda dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan Altantuya namun dibebaskan tanpa perlu membela diri. – 17 Disember, 2019.
Komen