Eksekutif Samsung dipenjara kerana sabotaj kesatuan buruh


Daripada sejumlah 32 orang yang didakwa dalam kes itu, termasuk bekas dan pekerja semasa Samsung, 26 telah didapati bersalah. – Gambar EPA, 17 Disember, 2019.

SEBUAH mahkamah di Seoul menjatuhi hukuman penjara ke atas beberapa eksekutif kanan Samsung pada Selasa bagi kesalahan mensabotaj aktiviti kesatuan buruh di unit perkhidmatan pelanggan konglomerat terkemuka itu, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Mahkamah Daerah Seoul Tengah menjatuhi hukuman penjara 18 bulan ke atas Lee Sang-hoon, yang merupakan pengerusi Lembaga Pengarah Samsung Electronics Co kerana melanggar undang-undang berkaitan kesatuan buruh semasa memegang jawatan ketua pegawai kewangan.

Hukuman sama turut dijatuhkan ke atas Naib Presiden Samsung Electronics Kang Kyung-hoon.

Daripada sejumlah 32 orang yang didakwa dalam kes itu, termasuk bekas dan pekerja semasa Samsung, 26 telah didapati bersalah.

Keputusan itu dibuat kurang seminggu selepas sebuah lagi mahkamah menjatuhi hukuman penjara 16 bulan ke atas Kang kerana mensabotaj aktiviti kesatuan buruh di Everland, yang merupakan sebuah taman hiburan yang dikendalikan konglomerat tersebut. – AFP, 17 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen